DARIPADA sejumlah besar band Indonesia, Nidji antara yang berjaya ‘membeli jiwa’ peminat di Malaysia. Sokongan tidak berbelah bahagi peminat membuatkan Nidji kekal bertahan dan terus diraikan.
Nidji sudah menempuh perjalanan panjang lebih dua dekad yang terisi dengan pengalaman jatuh dan bangun.
Haluan Nidji juga pernah berubah, terutama apabila vokalis asal, Giring Ganesha melangkah keluar pada 2017, sebelum kekosongan tersebut diisi peserta Indonesian Idol musim ke-8, Yusuf Ubay.
Nidji pada hari ini terus bertahan, meskipun industri muzik Indonesia menyaksikan kemunculan band baharu yang hadir umpama cendawan tumbuh selepas hujan.
Kata Yusuf atau mesra disapa Ubay, kehadiran band baharu perlu diraikan dan tidak wajar dianggap sebagai persaingan.
“Industri sekarang bersifat terbuka, sesiapapun berpeluang untuk berkarya di mana sahaja dan pada bila-bila masa.
“Ruang kebebasan itu menghasilkan pelbagai genre muzik. Pendengar bebas membuat pilihan jenis muzik apa yang mereka inginkan,” katanya.
Kata Ubay, perubahan yang dikecapi industri seni perlu disambut secara positif. Katanya, ia membuktikan industri seni sudah maju, tidak lagi berada pada takuk lama.
“Kalau dahulu, kerja penghasilan muzik dan karya seni cukup sukar dilakukan dan mempunyai cabaran tersendiri.
“Sekarang, semua lebih mudah, sama ada untuk menghasilkan lagu atau mempromosikannya. Karya-karya baharu terhasil hampir setiap hari.
“Ini perkembangan yang baik kerana kita hidup dalam dunia tanpa sempadan,” katanya lagi.
Kolaborasi Nidji, Budi Doremi
Rindu peminat Malaysia kepada Nidji bakal terubat menerusi konsert Dream Collaboration Volume 1 yang akan berlangsung pada 19 Mac ini di Zepp Kuala Lumpur.
Lebih istimewa, kumpulan tersebut bakal berkongsi pentas dengan penyanyi kegilaan ramai, Budi Doremi yang popular menerusi lagu Melukis Senja.
Kata Ubay, mereka terpanggil untuk beraksi di Malaysia selepas melihat sambutan menggalakkan peminat terhadap konsert artis Indonesia.
“Ramai artis Indonesia turun ke Malaysia untuk membuat konsert selepas pandemik. Hampir semua konsert berjaya dan menerima sambutan menggalakkan.
“Kami tidak mahu ketinggalan, tambahan pula agak lama Nidji tidak datang membuat persembahan di sini. Kali ini, kami tidak mahu lepaskan peluang menghiburkan peminat dengan konsep baharu.
“Kami sangat teruja kerana kali terakhir membuat konsert di sini pada 2019. Konsert di Zepp KL ini lebih personal kerana ia dianjurkan selepas 26 tahun Nidji ditubuhkan,” katanya.
Disoal tentang kolaborasi bersama Budi, Ubay memaklumkan, persembahan mereka nanti akan mencetuskan momen istimewa menerusi gabungan dua genre muzik.
“Muzik bagi kami adalah bahasa yang universal. Mudah-mudahan kolaborasi ini dapat mencipta persembahan yang lebih menghiburkan. Peminat dapat melihat dua genre muzik disatukan. Kita lihat hasilnya nanti,” katanya lagi.
Mengulas tentang kejutan, Ubay memaklumkan, Nidji dan Budi bakal mempersembahkan kelainan untuk menyuntik keistimewaan dalam konsert itu nanti.
“Kami sedang menyiapkan sesuatu. Konsert itu bukan sekadar platform bermain muzik, malah pentas untuk membawa misi budaya kami.
“Kami mahu berikan persembahan yang memberi kesan, membuat penonton pulang dan merindukan kami keesokan harinya,” ujarnya.
Sementara itu, Budi yang kali pertama menjayakan konsert di sini mengakui, sangat teruja dan tidak sabar untuk beraksi.
“Saya pernah ke Kuala Lumpur, tahun lalu untuk mempromosikan lagu. Untuk konsert, ini yang pertama.
“Saya sudah mulakan persiapan, di samping menjaga kesihatan dan banyak melakukan latihan kerana mahu konsert ini berjalan lancar.
“Konsert ini menarik kerana dua elemen muzik disatukan di pentas yang sama. Kami berharap peminat akan datang beramai-ramai memberikan sokongan,” katanya.
Dream Collaboration Volume 1 Nidji x Budi Doremi bakal berlangsung selama dua jam bermula pukul 8 malam. Tiket berharga antara RM200 dan RM4,694 boleh dibeli menerusi laman sesawang www.ticket2u.com.my.










