‘Saya tidak ditawar projek RM3 juta, itu memang bajet ADUN’ - Utusan Malaysia

‘Saya tidak ditawar projek RM3 juta, itu memang bajet ADUN’

NORAZLINAH ARIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Wang RM3 juta didakwa Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ‘diberi’ pihak tertentu kepada salah seorang bekas wakil rakyatnya adalah peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) kerajaan Sabah.

Peruntukan itu di bawah Bajet Sabah 2023 yang dibentang Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di DUN Sabah tahun lalu, merangkumi RM2.5 juta untuk projek-projek kecil, manakala RM500,000 bagi projek Sentuhan Kasih.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Norazlinah Arif berkata, beliau mahu menggunakan peruntukan itu untuk membantu rakyat dan membangunkan Kunak.

Menurut beliau, Parlimen Kunak tidak mendapat sebarang peruntukan pembangunan melalui projek-projek kerajaan jika terus menjadi pembangkang.

Justeru, Norazlinah menafikan dakwaan menerima RM3 juta untuk keluar Warisan, sebaliknya mendakwa parti awalnya telah jauh tersasar daripada landasan sebenar.

“Saya tidak ditawar projek RM3 juta, itu sudah disebut dalam bajet negeri untuk kese­mua ADUN kerajaan untuk membantu rakyat dan menjalankan pembangunan di kawasan masing-masing.

“RM3 juta ini belum pun saya terima, peruntukan ADUN ini akan turun pada bulan Mac atau April ini. Jadi, saya sangat berharaplah mendapat agihan peruntukan untuk pembangunan di kawasan saya nanti,” katanya ketika dihubungi semalam.

DIBELI

Minggu lalu, Mohd. Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna itu bertegas bahawa tiga ADUN partinya yang keluar parti kerana ‘dibeli’ pihak tertentu selain mendakwa mempunyai bukti yang Norazlinah mengaku ditawarkan imbuhan.

Susulan itu, Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Lo Su Fui kemudian menuntut Mohd. Shafie menarik semula dakwaannya kerana kenyataan itu tidak berasas selagi tiada bukti-bukti kukuh.

Noorazlinah pada Khamis lalu mengalu-alukan Mohd. Shafie melaporkan tindakannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain bersedia disiasat.

Awal bulan ini, Norazlinah mengumumkan keluar Warisan dan memberi sokongan kepada Hajiji sebagai ADUN bebas. Dua ADUN lain bertindak sama ialah Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Ben Chong Chen Bin (Tanjong Kapor).

Mengulas lanjut, beliau meminta kesemua pemimpin Warisan supaya bermuhasabah diri dan berfikir sejenak punca seorang demi seorang ADUN keluar daripada parti.

“Di manakah silap Warisan sampai parti ini kalah dalam pilihan raya umum berbanding terus-menerus cakap dan hina saya dengan kata-kata kesat?

“Banyak perkara saya tidak setuju di dalam parti, tidak memberi impak positif kepada rakyat. Jadi, saya mahu selaraskan semula fokus demi rakyat. Dakwaan yang muncul sebelum ini semua fitnah. Saya tidak menerima tawaran dari sesiapa,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×