TERDETIK perasaan bangga tatkala menonton filem animasi muzikal, Didi & Friends The Movie sempena tayangan perdana, baru-baru ini.
Filem yang diarahkan Roshfaizal Ariffin dan Akmal Aziz Asmawi itu turut menampilkan nama besar dalam industri perfileman dan drama seperti Datuk Awie, Ruminah Sidek, Amelia Henderson, Waris dan ramai lagi.
Didi & Friends The Movie boleh diangkat sebagai naskhah bertaraf antarabangsa yang dihasilkan dengan kepakaran anak tempatan dan kemudahan teknologi dalam negara.
Roshfaizal, ketika ditemui bersyukur apabila filem itu menerima maklum balas positif, bukan hanya daripada penonton tempatan, malah audiens antarabangsa.
“Malaysia kini berupaya menjadi pengeluar karya animasi bertaraf dunia. Satu pencapaian yang tidak pernah kita fikirkan dahulu.
“Apa yang kita capai hari ini didorong pendedahan terhadap budaya pop dan animasi.
“Ini filem Didi & Friends pertama yang kami hasilkan. Mungkin belum masanya untuk dijadikan sebagai penanda aras kepada filem animasi tempatan lain.
“Saya harap filem kedua atau ketiga nanti berupaya mengangkat Didi & Friends ke tahap itu,” katanya.
Roshfaizal juga berterima kasih apabila usaha mereka mendapat sokongan kerajaan yang menyediakan pelbagai kemudahan dalam memartabatkan produk animasi tempatan.
Peluang yang sama katanya, sewajarnya diraikan setiap pengkarya animasi tanpa perlu bersaing antara satu sama lain.
“Kami memanfaatkan kemudahan yang disediakan kerajaan, sama ada dalam bentuk sokongan atau peruntukan. Apabila peluang diberikan, tentunya kami mahu hasilkan karya terbaik.
“Kami cuma mahu gunakan peluang yang ada sebaik mungkin dan bukan untuk bersaing dengan pengkarya animasi lain,” ujarnya.
Seperti karya animasi tempatan lain, Didi & Friends juga mempunyai pengikut yang ramai, terutama dari negara Asia Barat dan Asia Pasifik.
Melihat sambutan memberangsangkan tersebut, Roshfaizal berharap, kerajaan dapat memantapkan lagi usaha melahirkan lebih ramai pengkarya animasi untuk merancakkan industri.
“Sudah ada filem dan drama animasi kita yang diterima baik di negara luar. Jadi, kerajaan perlu mencungkil lebih ramai bakat baharu dan gilap kemampuan mereka.
“Sebenarnya, kita punya ramai bakat amatur menghasilkan karya animasi yang dipertontonkan di YouTube. Kualiti kerja mereka bagus dan pengikut juga ramai.
“Saya lega kerana kemudahan teknologi yang ada di negara kita telah menggalakkan lebih ramai anak muda menceburi bidang ini,” jelasnya.
Disoal tentang cabaran mengarahkan filem animasi, Roshfaizal memaklumkan, pengarah perlu lebih teliti dan fokus terhadap jalan cerita dan watak supaya mesej dapat disampaikan serta diterima baik pelakon.
“Saya pernah mengarah beberapa drama sebelum ini, ia memang berbeza dengan mengarahkan karya animasi. Pengarah perlu bekerja lebih keras untuk menjelaskan dengan terperinci karakter dan babak dalam filem ini.
“Kami perlu terangkan satu persatu agar pelakon dapat menangkap lakonan dan membentuk olahan suara yang sesuai dengan watak mereka.
“Kami akan minta pelakon teroka dan berikan beberapa kelainan terhadap cara penyampaian mereka sebelum memilih yang terbaik dan paling sesuai dengan watak,” katanya lagi.
FIlem animasi ini akan menemui penonton bermula 23 Februari ini.
Ekspresi suara hidupkan watak – Amelia Henderson
MENYUMBANG suara untuk filem animasi, pelakon manis, Amelia Henderson yang membawa watak Kapten Zee menyifatkan tanggungjawab itu berat dan mencabar untuk digalas.
Bagaimanapun kata Amelia, dia gembira apabila diberi kebebasan oleh pengarah untuk mewarnakan watak tersebut mengikut caranya sendiri.
“Pengarah beri kelonggaran untuk saya membawakan watak ini dengan cara sendiri. Pada masa sama, mereka juga membantu saya sepanjang proses mencari tona suara yang betul untuk karakter ini.
“Sebenarnya, persembahan saya untuk karakter ini lebih kurang sama dengan suara asal. Cuma, ia perlu diolah agar kedengaran lebih muda,” katanya.
Berkongsi lanjut tentang cabaran melakonkan watak animasi, ujar Amelia, pelakon perlu kreatif dan pandai mencari suara yang betul untuk disesuaikan dengan karakter yang dibawakan.
“Untuk filem animasi, pelakon tidak dapat menggunakan ekspresi wajah dan lakonan untuk menguatkan karakter tersebut. Ia 100 peratus bergantung kepada ekspresi suara.
“Saya kena fikirkan kerana saya tidak dapat menggunakan eye contact atau ekspresi wajah untuk menghidupkan watak itu,” katanya lagi.
Berkat doa anak – Waris
KALI pertama terlibat dalam filem animasi, penyanyi rap terkenal, Waris bagaikan tidak percaya diberi peluang untuk menjayakan karakter animasi yang cukup diminati anak-anaknya.
Kata Waris, rezeki tersebut adalah berkat doa anak-anaknya yang ingin melihat ayah mereka berlakon dalam karya animasi.
“Mereka mahu saya berlakon dalam Didi & Friends kerana terlalu minat dengan animasi tersebut. Saya banyak berhabis duit, beli alat permainan dan beg untuk anak-anak saya.
“Saya macam tidak percaya apabila penerbit menghubungi dan menawarkan saya terlibat dalam filem ini. Doa mereka makbul,” katanya.
Kata Waris lagi, pengalaman yang dilalui sedikit sebanyak membantunya untuk menghidupkan watak Torra dalam naskhah tersebut.
“Pastinya ini merupakan pengalaman baharu buat saya. Situasi yang dilalui Torra dalam filem ini sama dengan pengalaman saya ketika anak dijangkiti Covid-19.
“Saya terdesak mencari penawar bagi merawat anak dan saya gunakan pengalaman itu untuk menghidupkan jiwa dan emosi Torra,” kongsinya.











