PETALING JAYA: Selepas kejayaannya mencipta alat pembesar suara tanpa skru berjenama Bowers & Wilkins 2-Way Kevlar yang mendapat perhatian syarikat kereta berprestasi tinggi McLaren Senna, Ruslin Tamsir mahu ada lagi anak tempatan yang berani menghasilkan produk bernilai antarabangsa.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, anak Melayu berasal dari Kuala Lumpur itu berharap hasil pembangunan dan penyelidikan (R&D) yang ditampilkannya membuka lebih banyak peluang untuk pemegang taruh industri automotif tempatan bersaing dari segi pembuatan komponen selain yakin mengkomersialkannya.
Ruslin, 36, berkelulusan kejuruteraan mekanikal dan mekatronik dari University of Applied Science Ravensburg-Weingarten, Jerman memberitahu, graduan automotif juga harus mempunyai modul yang masuk akal dan terkini menggabungkan tenaga dengan industri besar seperti Proton dan Perodua dalam menentukan hala tuju mereka.
“Saya mahu mereka didedahkan dengan aktiviti seperti simposium teknologi di mana projek itu menghasilkan sesuatu yang baharu melibatkan robotik dan bioteknologi kerana inilah masa yang sesuai untuk mengemukakan idea-idea yang kreatif,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Dengan hanya sekali pautan di media sosial berkongsi kegembiraan selepas paten pembesar suara itu diterbitkan European Patent Office pada Oktober tahun lalu, ia nyata memberi impak besar terutama dalam kalangan penggemar bidang automotif negara untuk terus tampil dengan idea baharu.
Manakan tidak, cetusan idea tersebut terhasil apabila dia membangunkan konsep Teknik Pemasangan Gril Pembesar Suara: Pengunci Halimunan untuk Gril Pembesar Suara Karbon – menggunakan kaedah pemasangan seperti tanggam di bahagian kereta.
Bukan mudah bagi Ruslin untuk meraih minat McLaren selepas beberapa kali gagal menghasilkan pelbagai prototaip dan model berkenaan.
Namun berkat usaha yang tidak terhenti membuahkan hasil sehinggalah rekaan pertama di dunia yang dibangunkan hanya dalam tempoh tiga bulan itu mendapat kelulusan Pasukan Petugas Automotif Antarabangsa 16949 (IATF-16949) dan sedia untuk dikomersialkan.
Bowers & Wilkins hadir ketika Ruslin melibatkan diri dalam satu projek khas diberikan McLaren, sehinggalah komponen canggih itu melepasi tahap ujian peringkat antarabangsa dan akhirnya menarik minat syarikat berkenaan.

Berbeza dengan alat pembesar suara yang lain, kualiti bunyi dihasilkan alat tersebut luar biasa dan mampu menenggelamkan bunyi persekitaran seperti tayar kereta dan kenderaan lain yang melaluinya, namun kesesuaian komponen berharga ribuan ringgit itu tidak dijual berasingan dan hanya boleh digunakan bagi kereta-kereta eksklusif seperti BMW, Ferrari dan Mercedes-Benz.
Kata satu-satunya jurutera yang pernah bekerja di syarikat audio antarabangsa, Harman International Industries, Munich itu, industri automotif negara berpotensi tinggi untuk menyerlah kerana sudah mempunyai tenaga kerja dan pemahaman teknologi setanding negara luar malah mempunyai nilai pasaran baik di Asia Pasifik.
“Sokongan majikan amat penting dalam memberikan ruang dan peluang untuk menonjolkan kemahiran malah mereka perlu tahu bagaimana menyalurkan idea bernas kepada pihak yang betul seperti Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang bertanggungjawab memfailkan paten inovasi,” katanya.
Antara lain Ruslin merancang mengemukakan kertas cadangan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Pengajian Tinggi untuk memberi pendedahan kepada khalayak malah beliau menyarankan kerajaan memberikan geran kepada golongan muda sebagai saluran berinovasi.
“Niat saya bukan sahaja untuk pasaran dan perniagaan tetapi saya mahu menabur bakti kepada negara dengan memberikan pandangan dan nasihat, bertindak sebagai penasihat dalam bidang teknologi negara kerana tidak ramai yang boleh memberikan memainkan peranan seperti ini,” katanya. -UTUSAN










