PONTIAN: Di sebalik khabar angin bahawa Datuk Seri Ahmad Maslan bakal menentang Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Pontian, ahli parti berkenaan mahu supaya gandingan dua pemimpin tersebut dikekalkan.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pontian, Mohd. Don Abdullah, 63, menyifatkan gandingan Hasni dan Ahmad yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian sebagai mantap dan tidak perlu ada pertandingan bagi kedua-dua jawatan tersebut pada pemilihan parti kali ini.
“Gabungan mereka berdua cukup mantap dan tiada sebarang masalah yang timbul dan perlu dikekalkan bagi sama-sama memimpin UMNO Bahagian Pontian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Menurut Mohd. Don, kepemimpinan Hasni yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam dan Ahmad yang merupakan Ahli Parlimen Pontian akan memberi keuntungan kepada para pengundi di Pontian pada masa depan.
Justeru, pertandingan antara mereka hendaklah dielakkan kerana ia boleh mengugat keharmonian UMNO Bahagian Pontian pada ketika ini.
Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan Ahmad yang juga Setiausaha Agung UMNO dikatakan bakal merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian yang disandang Hasni. – UTUSAN










