KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) diingatkan ada gelombang Perikatan Nasional (PN) untuk menang di Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dijangka berlangsung tahun ini.
Ini susulan kejayaan PN menang tiga kerusi parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Tasek Gelugor, Permatang Pauh dan Kepala Batas.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau yakin PN boleh menambah bilangan kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu bagaimanapun tidak menafikan untuk menguasai Pulau Pinang tidak mudah kerana negeri itu kubu kuat PH khususnya DAP.
Enam negeri yang akan terlibat dalam pilihan raya tahun ini ialah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
“Benar, ada gelombang PN di Pulau Pinang, tetapi ini juga tidak mudah. Pulau Pinang mungkin agak mencabar tetapi saya yakin, PN boleh menambah bilangan kerusi. Kalau kita susun dengan baik, mungkin kita boleh menang (di Pulau Pinang).
“Di lima negeri lain, saya tidak melihat adanya cabaran besar untuk menang di sana, saya yakin boleh menang,” katanya ketika ditemui di Bangunan Parlimen di sini semalam.
JAWATAN
Selain itu, Wan Saiful turut mengesahkan tidak akan bertanding dalam pilihan raya negeri di Pulau Pinang kerana menyandang jawatan ahli parlimen sudah memadai buat dirinya.
Dalam perkembangan lain, beliau enggan mengulas keputusan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mengumumkan untuk ‘berehat seketika’ daripada politik.
Wan Saiful juga tidak berkongsi pandangan jika ketiadaan bekas Ahli Parlimen Gombak itu di dalam PN akan menjejaskan parti khususnya mendepani pilihan raya negeri nanti.
“Saya rasa beliau banyak memberikan sumbangan terhadap parti. Mesti ada sebab beliau berkata begitu. Tetapi, elok saya dapatkan maklumat yang lebih tepat daripada beliau,” katanya.
Pada PRU15 lalu, Mohamed Azmin bertanding atas tiket PN tewas di Parlimen Gombak ditewaskan oleh calon PH, Datuk Seri Amirudin Shari dengan majoriti 12,729 undi.
Beliau sebelum itu didakwa menjadi dalang mengetuai 11 ahli Parlimen PKR untuk belot dan menyokong Bersatu membentuk kerajaan PN melalui Langkah Sheraton pada 2020.
Mohamed Azmin masih seorang ADUN yang mewakili rakyat di Bukit Antarabangsa. – UTUSAN











