PETALING JAYA: Bidang teknologi komunikasi maklumat (ICT) terutamanya yang berkaitan dengan perniagaan dalam talian adalah antara sembilan bidang yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan majikan untuk mencari pekerja pada tahun ini.
Malah, tinjauan Utusan Malaysia menerusi portal Linkedin, Indeed dan MYFutureJobs mendapati, lebih 40,000 kekosongan berkaitan bidang tersebut ditawarkan oleh majikan-majikan di seluruh negara.
Sementara itu Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, ini berikutan bidang ICT menyediakan pelajar dalam pelbagai bidang perkomputeran dan dunia digital.
Ujarnya. graduan dalam bidang berkenaan mempunyai masa depan cerah kerana bidang itu berkembang pesat di Malaysia dan seluruh dunia.
“Graduan bidang ICT mempunyai permintaan tinggi dalam perniagaan secara dalam talian, penggunaan data dan teknologi.
“Bidang ICT dan kemahiran jurutera perisian menjamin peluang untuk mendapat kerja,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Mengulas lanjut, Syed Hussain berkata, selain bidang ICT, kebanyakan majikan juga mencari pekerja yang berkelulusan pengurusan perniagaan.
Katanya, kemahiran dalam bidang perniagaan terutamanya fungsi pengurusan dan juga aspek-aspek ekonomi, kewangan, perundangan dan aspek pemasaran dalam perusahaan perniagaan moden diperlukan untuk mengurus perniagaan swasta.
“Graduan pengurusan perniagaan senang mendapat pekerjaan kerana ia bukanlah satu jurusan yang khusus pada sesuatu cabang pekerjaan sahaja.
“Kemahiran pengurusan perniagaan diperlukan dalam semua aspek pekerjaan baik di semua sektor ekonomi iaitu pembuatan ,perkhidmatan, perladangan dan perlombongan.,” katanya.
Selain itu, kata Syed Hussain, majikan pada masa kini juga memberi tumpuan kepada graduan yang berkelulusan sains fizikal, kejuruteraan, perakaunan dan sains hayat.
Menurutnya, graduan kursus sains fizikal juga mudah mendapat kerja selepas belajar kerana kekurangannya tenaga kerja dalam bidang ini terutamanya apabila syarikat itu melihat kepentingan persekitaran.
“Graduan dalam bidang kejuruteraan awam, kimia, perlombongan, mekanikal, pengeluaran, telekomunikasi, elektrik dan elektronik adalah antara bidang kejuruteraan yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran .
“Graduan perakaunan pula mempelajari bidang perakaunan mempelajari matematik, ekonomi dan pengurusan perniagaan yang membolehkan seseorang bekerja di mana-mana syarikat .
“Selain menjadi akauntan profesional, siswazah boleh menceburi kerjaya lain seperti juru audit, pembuat dasar ekonomi dan percukaian,” jelasnya.
Syed Hussain menambah, empat lagi bidang yang diberi tumpuan pula adalah bidang sains hayat, perhubungan awam dan komunikasi media, sains sosial dan veterinar.
Katanya, sains hayat merupakan bidang kedoktoran, pergigian dan bidang perubatan lain seperti farmasi, fisioterapi, audiologi dan kejururawatan mempunyai permintaan tinggi dan senang dapat kerja.
“Perhubungan awam dan komunikasi media pula adalah kemahiran yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan majikan. Penulis kandungan, pegawai perhubungan awam dan pengaturcara atau pengurus agenda adalah antara bidang yang boleh diceburi graduan perhubungan awam dan komunikasi media.
“Sains sosial pula adalah bidang yang mengkaji perkara berkaitan manusia termasuk ilmu psikologi, sosiologi, ekonomi, sains politik dan pendidikan. Graduan daripada jurusan sains sosial banyak mendapat perhatian majikan untuk jawatan berkaitan sains politik, penasihat ekonomi dan pendidikan dan guru kaunseling.
“Veterinar pula adalah bidang kesihatan haiwan yang mempunyai permintaan tinggi bersesuaian dengan perubahan gaya hidup masyarakat dan sikap terhadap haiwan peliharaan. Kesedaran yang semakin tinggi terhadap nilai kasih sayang kepada haiwan menaikkan populariti program pengajian veterinar,” jelasnya. – UTUSAN










