SAUH sudah diturunkan, tanda Anugerah Juara Lagu (AJL) untuk edisi ke-37 telah berlabuh. Menanti pelayaran semula tahun depan dengan barisan 12 lagu baharu yang bakal bertanding.
Kali ini, media sosial tidak lagi riuh dengan luahan ketidakpuasan hati seperti beberapa edisi terdahulu. Kemenangan setiap pemenang bagaikan direstui. Baik juara, tempat kedua dan ketiga, mahupun untuk kategori Persembahan Terbaik serta Vokal Terbaik.
Adat bertanding, pasti ada kalah dan menang. Namun secara keseluruhan, kita tidak boleh menafikan kehebatan setiap peserta ketika beraksi di pentas AJL37. Masing-masing umpama ‘berperang lawan mati’.
Masing-masing kreatif dalam mencorakkan persembahan dengan ‘tembakan’ vokal hebat, mainan lampu neon elektronik mahupun mencipta kepulan awan di atas pentas, semua itu antara faktor menjadikan AJL sebagai program hiburan berprestij yang sentiasa ditunggu ramai.
Pentas AJL37 dibuka dengan persembahan Iman Troye menerusi lagu Nang (komposer dan lirik: Ezra Kong dan A. Ramlee), memperlihatkan kematangan penganjuran acara hiburan tersebut.
Produksi tidak culas dalam menyempurnakan konsep persembahan setiap peserta.
Ramai yang kagum dengan persembahan Naim Daniel menerusi lagu Mainan (ciptaan Firdaus Rahmat, Omar K dan Mas Dewanga.manakala lirik oleh Arisz Ab Rahman). Keberaniannya menyanyi secara terbalik sambil tergantung di udara mencipta satu lagi persembahan ikonik sepanjang penganjuran AJL.
Tidak dilupakan persembahan Joe Flizzow dan SonaOne yang mempertandingkan lagu ciptaan mereka, Satu Malam Di Temasek. Layak diangkat antara persembahan bertaraf Grammy.sembahan Joe Flizzow dan SonaOne yang mempertandingkan lagu ciptaan mereka, Satu Malam Di Temasek. Layak diangkat antara persembahan bertaraf Grammy.
Aina Abdul juga tidak kalah. Dia umpama menyanyi di sebalik kepulan awan ketika mempertaruhkan lagu ciptaannya, Terus Hidup. Persembahan sang juara itu mendapat sorakan gemuruh 8,000 peminat yang membanjiri Axiata Arena, Bukit Jalil.
Walaupun masih ada penyanyi yang mungkin tidak berani membuat persembahan di luar kotak, kesemua 12 persembahan direalisasikan dengan kepantasan serta kecekapan kru produksi sepanjang hampir tiga jam acara berlangsung.
Namun, bukan itu sahaja yang menjadi perbualan ramai. Antara yang masih diperbualkan ramai, adakah AJL sudah semakin hilang identitinya? Apakah objektif asal iaitu mengangkat martabat dan identiti penulis lirik, komposer semakin terhakis apabila permainan mata serta halwa telinga yang digarap menerusi konsep persembahan lebih diperkatakan?.
Tidak dinafikan, vokal, fesyen dan konsep persembahan memainkan peranan penting, tetapi apabila terlalu diberi tumpuan sehingga kurang elemen mengangkat identiti lagu dan komposer, bukankah itu lari daripada landasan utama?
Apa yang ditunggu peminat kini adalah apakah busana yang bakal disarung penyanyi. Adakah penyanyi mampu melontarkan vokal tinggi atau betapa ‘besar’ dan gahnya konsep persembahan.
Di mana penghargaan untuk komposer yang bertanding? Di mana pula tempat dan ruang perkongsian di sebalik pembikinan sesebuah lagu? Begitu juga dari sudut kupasan lirik dan idea penghasilan melodi, perkara ini tidak terlalu ditonjolkan.
Bukankah itu sebenarnya menjadi tunjang kepada penganjuran Juara Lagu yang bermula pada 1986? Mengangkat dan mengiktiraf komposer, penulis lirik tanpa menafikan kepentingan persembahan.
Tiada penceritaan dalam skrip pengacara untuk mengangkat komposer dan penulis lirik. Yang ada hanya ‘bebelan’ pujian-pujian untuk penyanyi sementara menunggu pentas disiapkan.
Jika diputar semula, AJL edisi awal lebih menyerlahkan kehebatan komposisi sesebuah lagu sehingga persoalan mengapa finalis layak beraksi turut terjawab. Dari situ, komposer hebat seperti Manan Ngah, Pak Ngah dan Adnan Abu Hassan mencipta nama.
Penonton juga tahu siapa pemilik kehebatan melodi dan lirik yang dipertandingkan. Mereka tahu cetusan idea dan garapan lirik, namun kini hanya nama yang disebut. Itupun jika kerap bertanding. Jika tidak, mungkin hanya dengar sekali dua.
Lantas benarkah seperti yang dipersoal segelintir pencinta industri muzik, AJL sudah kurang jiwa lagunya? Tepuk dada, tanya selera.











