Penat tersorok di sebalik PPE - Utusan Malaysia

Penat tersorok di sebalik PPE

Seorang petugas kesihatan kepenatan selepas bertugas dengan memakai sut PPE dalam masa panjang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Penat sampai tak terkata namun semua itu tidak nampak kerana tersorok di sebalik sut peralatan perlindungan diri (PPE) yang dipakai ketika bertugas sebagai barisan hadapan bagi menangani Covid-19.

Itu dilalui semua kakitangan kesihatan di Hospital Teluk Intan di sini khususnya yang memakai PPE bagi `berperang’ dengan Covid-19.

Proses memakai dan membuka pakaian itu juga perlu melalui prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Operasi Unit Keselamatan dan Pekerjaan Hospital Teluk Intan, Dr. K. Anand, 31, berkata, petugas yang memakai PPE boleh diibaratkan seperti berada di dunia luar lebih-lebih lagi apabila memakai pakaian itu dalam tempoh yang lama.

Menurut beliau, namun semua itu dilalui dengan sabar walaupun kecewa apabila hari-hari kes Covid-19 meningkat yang kebanyakannya berpunca daripada sikap masyarakat.

“Kadangkala rasa putus asa dengan peningkatan jumlah pesakit kerana sekali gus menunjukkan masyarakat tidak menghargai pengorbanan kami. Mereka yang tak ikut SOP sangat menyakitkan hati kami.

“Kami pun ada keluarga, mahu juga melakukan aktiviti rekreasi yang sudah lama kami tak buat sebab kes meningkat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Penolong Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Teluk Intan,
Muhammad Zaeem Mohd. Noor, 38, turut berkongsi cabaran memakai PPE semasa bertugas yang disifatkannya memerlukan mental kuat kerana sut tersebut membuat petugas berpeluh selain merimaskan.

Menurutnya, pakaian PPE juga berat dan lebih mencabar apabila terpaksa dipakai dalam tempoh sehingga berbelas jam.

“Kami memang tertekan lebih-lebih lagi apabila pesakit masuk hospital tidak berhenti-henti,” katanya.

Pembantu Perawatan Kesihatan di Jabatan Kecemasan hospital sama, Khairol Anuar Zoukepli, 33, pula berkata, petugas yang memakai PPE memang `kuat’ kerana sut tersebut memang tidak menyelesakan.

“Bayangkan hari-hari tanggung masalah sama dan dalam tempoh tersebut perlu mengendalikan pesakit yang menjalankan ujian dan rawatan,” katanya.

Ditanya mengenai penat, Khairol berkata, perkara tersebut tidak perlu ditanya kerana semua petugas memang keletihan tetapi masing-masing tiada pilihan kecuali terus kuatkan semangat seperti ditiupkan oleh Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×