“Dia (pencarum KWSP) ada RM5,000 ada RM10,000 hendak keluar, pencen empat tahun lagi apa hendak jadi,” itu pertanyaan yang dilontarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditanya mengenai desakan supaya pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan mengeluarkan caruman mereka sekali lagi.
Oleh itu katanya, kerajaan tetap berpendirian mencari jalan lain bagi membantu rakyat disebalik desakan pelbagai pihak berhubung pengeluaran khas sekali lagi KWSP.
Perdana Menteri berkata, beliau telah memperjelaskan sebelum ini mengenai nasib dan masa depan pencarum KWSP khususnya yang telah mempunyai simpanan makin sedikit.
“Dulu kita diminta dikeluarkan, banyak dikeluarkan. Jadi yang tinggal RM10,000, RM5,000, yang hendak keluarkan itu kena fikir apa pilihan kita.
“Jadi, saya ingat liputan itu mesti adil, saya kalau ikut wang dia, biar dia keluar. Tetapi kalau tinggal RM5,000, keluar RM3,000 pencen lima tahun lagi, anak beranak semua, macam mana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan syarahan sulung kerusi Siddiq Fadzil Reformasi Pendidikan Untuk Kesejahteraan Masa Depan Malaysia di Universiti Selangor (Unisel), hari ini bagi mengulas sama ada pengeluaran khas KWSP ada dalam pertimbangan kerajaan dalam belanjawan 2023.
Pengeluaran khas KWSP telah dilakukan sebanyak tiga kali sebelum ini iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra bagi membantu rakyat mendepani kos sara hidup terutama ketika semasa dan selepas pandemik Covid-19. – UTUSAN











