Memaknakan wawasan terkini KPT - Utusan Malaysia

Memaknakan wawasan terkini KPT

DUNIA pendidikan kini resah dengan kewujudan ChatGPT iaitu aplikasi perisian kecerdasan buatan (AI) yang mampu menulis esei dengan baik seperti manusia. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) telah melakarkan wawasannya yang baharu untuk melengkapkan lagi amanat yang disampaikan Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada hujung bulan Januari lalu.

Bunyinya: Pendidikan Tinggi Berkualiti, Insan Cemerlang, Negara Sejahtera. Tiga sasaran – pendidikan, insan dan negara, masing-masing terkesan berturut-turut menampakkan hubungan rapat satu sama lain.

Maka, setiap satunya wajar terletak di peringkat teratas baik dari segi mutu atau kualiti, kecemerlangan mahupun sejahtera. Akhirnya, sebagaimana diungkapkan dalam amanat Mohamed Khaled, aspirasi negara merupakan matlamat penentu, yakni negara seimbang lagi harmonis adunan sembilan nilai ‘sejahtera’ yang lengkap seperti dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK,1996).

Memuatkan artikel berkaitan…

Ini dikatakan dengan alasan: Meletakkan ekosistem pendidikan tinggi yang berkualiti untuk membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara. Ia juga bermakna insan yang bukan sahaja cemerlang, tetapi sekali gus turut sejahtera sebagai ‘insan sejahtera’. Demikian juga pendidikan berkualiti lagi sejahtera.

Malah negara sejahtera mengimbangi pendidikan serta insan yang sejahtera melalui kitaran tanpa henti dalam kemenjadian ‘insan sejahtera’. Ia mengisyaratkan kejayaan pendidikan membawa kepada negara.

Amat bertepatan yang KPT menginginkan satu ekosistem yang akan menginginkan ‘para pemikir, ilmuwan, sarjana’ selain tenaga kerja mahir dan separa mahir (modal insan) yang sering dilaung-laungkan. Tenaga kerja bukan tenaga fikir apalagi tenaga pimpin! Begitulah saratnya kata mercu KPT kali ini.

Namun, bukan setakat itu sahaja. Istilah ‘kualiti’ atau ‘mutu’ tidak terdapat dalam FPK. Adakah FPK bercanggah dengan kata mercu KPT? Tidak sekali-kali kerana kualiti dalam FPK diertikan dengan tiga patah perkataan pada ayat pertamanya. Yakni, berterusan, menyeluruh dan bersepadu. Ataupun lifelong learning, holistic dan integrated dalam kefahaman serta istilah bahasa Inggeris sekarang.

Yakni FPK sudah lama mendahuluinya tetapi tidak mendapat sambutan sewajarnya. Tanpa gabungan tiga serangkai ini, pendidikan boleh dikatakan tidak sempurna penyampaiannya, tidak berkesinambungan!

Tidak juga cemerlang apatah lagi sejahtera. Lalu penekanan utama KPT adalah untuk memastikan bahawa kualiti terbina secara tersirat untuk mencemerlangkan insan.

Sekali lagi, kali ini cemerlang pula tidak ada dalam FPK. Jadi? Penentunya adalah istilah seimbang dan harmonis yang menyentuh empat aspek insani: jasmani, emosi, rohani dan intelek (akal) – ringkasnya JERI. Tanpanya tidak akan ada cemerlang. Bahkan akan terus pincang! Tidak sempurna keinsanannya, hatta tidak juga sejahtera.

MANUSIAWI

Serentak negara, malah masyarakat serta keluarga terbabit bak catatan FPK yang menganjurkan bahawa insan sejahtera mampu memakmur serta menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara. Lantas dunia. Kesimpulannya, kesejahteraan negara tidak datang bergolek tanpa teras dan falsafah yang jelas lagi tuntas.

Malaysia Madani akan terbantut disebabkan paksi sejahteranya tidak sejahtera sepenuhnya! Ini merupakan satu cabaran amat berguna dalam mendalami kata mercu KPT untuk dilaksanakan.

Berkaitan rapat dengan ini adalah tanggapan bahawa institusi pendidikan amnya merupakan berstruktur dan berbentuk korporat dan berbudaya sedemikian. Ini satu tanggapan kurang tepat mengikut seorang pengarang buku How Universities Die (Bagaimana Universiti Mati) terbitan 2021.

Beliau membayangkan bahawa universiti yang dikorporatkan mula mencemari budaya ilmiah yang bercanggah dengan perilaku korporat berasaskan teori neoliberalisme modal insan (tenaga kerja).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam penulisan sulungnya, SCRIPT, ada menegaskan kegagalan kecenderungan tersebut yang semestinya dielakkan sama sekali. Apatah lagi dalam institusi pendidikan awam umumnya. Antara sebab utamanya adalah istilah modal insan itu sendiri yang cukup songsang dengan maksud insan sejahtera, malah baik ‘insan’ itu sekalipun.

Dengan kata lain, kecemerlangan yang dimaksudkan akan hanya berkisar sekitar ukuran untung-rugi, KPI (indeks penunjuk prestasi) dan lain-lain lagi mirip kepada barang-barang perkilangan. Dan modal insan dianggap salah satu antaranya. Sedangkan bagi insan sejahtera tuntutannya bukan sedemikian. Ia lebih manusiawi mencakupi KIP (prestasi utama tidak ketara).

Ia mengambil kira tiga aspek ketinggian seni budaya/nilai tamadun; ketinggian sentuhan jiwa/naluri yang mampu mengawal ketinggian teknologi yang menyelubungi insan dewasa ini seperti ungkapan amanat tempoh hari.

Sama ada berkesan atau tidak, terletak atas kepintaran manusia mengolah seni budaya di hari muka serta sentuhan memanusiawikan teknologi. Misalnya, kewujudan aplikasi perisian kecerdasan buatan (AI) yang mampu menulis esei dengan baik seperti manusia, ChatGPT yang sudah mula meresahkan dunia pendidikan sama ada disedari atau tidak.

Besar kemungkinan insan cemerlang sekadar imbuhan kepada ChatGPT sekiranya kesejahteraan diri tidak tercapai. Malah, ini membuka ruang kepada pembinaan pendidikan tanpa roh sebagaimana yang dihujahkan minggu lalu.

Tegasnya, titik tolaknya adalah mendalami maksud kata mercu KPT serta membudayakan melalui kemahiran pintar dan tajam (smart – sharp skills) yang diraikan menuju negara sejahtera. Selamat maju jaya KPT. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×