Sayur tidak cukup menjelang Ramadan

Sayur tidak cukup menjelang Ramadan

HARGA sayur-sayuran dijangka melambung tinggi di­se­babkan cuaca hujan yang menjejaskan bekalan dalam negara ketika ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekalan sayur-sayuran dijangka tidak dapat menampung permintaan yang tinggi menjelang bulan Ramadan berikutan hasil pengeluaran sayur dalam negara terjejas akibat cuaca hujan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Presiden Persatuan Pekebun Sayur Yong Peng, Cheng Tai Hoe berkata, jika hujan berte­rusan sehingga hujung bulan ini, maka bekalan sayur pada bulan Ramadan tidak akan mencukupi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, katanya, sayur jenis buah memerlukan masa panjang sehingga dua bulan untuk matang seperti terung, tomato, kacang dan cili yang sering mendapat permintaan tinggi semasa bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

“Disebabkan itu, dijangkakan bekalan sayur tidak mencukupi menjelang puasa dan harga ba­kal terus meningkat berikutan permintaan tinggi pada musim perayaan nanti.

“Tetapi tidak ada masalah ba­gi sayur jenis daun seperti ba­yam dan sawi kerana masih ada masa untuk matang,” katanya ketika di­hubungi semalam.

Terdahulu, media melapor­kan harga sayur-sayuran dijangka melambung tinggi di­se­babkan cuaca hujan yang menjejaskan bekalan dalam negara ketika ini.

Tai Hoe berkata, hasil sa­yur-sayuran import dari Thailand pun dijangka tidak mencukupi kerana hasil pengeluaran di sana turut terjejas sehingga harga sa­yuran yang dibawa masuk dalam negara melambung naik.

Tambahnya, antara peningkatan harga luar biasa ialah Timun yang mencecah RM9 hingga RM10 sekilogram berbanding RM6 harga maksimum sebelum ini.

“Kacang panjang import dari Thailand juga sudah mencecah RM16 sekilogram ekoran hasil pengeluaran di sana yang dila­porkan rendah ekoran hujan.

“Ladang-ladang sayur di Yong Peng sendiri pun banyak terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini dan pengeluaran sayur-sayuran amat kurang sejak dua minggu lalu lagi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN