Malaysia Madani perlukan dukungan cendekiawan

Malaysia Madani perlukan dukungan cendekiawan

KETINGGIAN daya intelektual Anwar Ibrahim terserlah bila menyampaikan pidato penuh berisi tanpa merujuk kepada teks yang turut diakui oleh seorang profesor dari Indonesia ketika kunjungan ke republik itu, baru-baru ini. – TWITTER ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA amat beruntung memiliki seorang Perdana Menteri bernama Datuk Seri Anwar Ibrahim yang walaupun tidak memiliki ijazah doktor falsafah tetapi tahap keintelektualannya tinggi sekali hingga dijemput sebagai profesor pelawat di beberapa universiti terkemuka dunia.

Ketinggian daya keintelektualan Anwar sentiasa terserlah bila beliau menyampaikan pidato penuh berisi tanpa merujuk kepada sebarang teks. Seorang profesor dari Indonesia mengakui ini setelah menonton pidato tanpa teks Anwar sewaktu beliau berkunjung ke negaranya.

Daya intelektual tinggi Anwar ini lahir daripada pembacaan meluas beliau selama berabad lamanya. Ini ditambah dengan sifatnya yang sepanjang masa begitu menghormati para sarjana, ilmuwan dan ulama dengan mengelilingi diri beliau dengan golongan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebab itulah para sarjana, ilmuwan dan ulama sangat senang sekali dengan Anwar. Ini terbukti bila menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, 70 profesor Melayu (G70) membuat deklarasi terbuka bagi menyokong Anwar sebagai bakal Perdana Menteri.

Kecendekiawanan Anwar dan kesediaan beliau untuk mengambil-alih tampuk pemerintahan negara tertonjol seawal 2 Oktober 2022 lagi. Beliau meluncurkan buku SCRIPT For a Better Malaysia: An Empowering Vision and Policy Framework for Action. Di dalam buku setebal 178 muka surat ini, Anwar membahaskan dengan panjang lebar segala visi, naratif, kerangka dan polisi yang akan dilaksanakan terangkum di dalam istilah SCRIPT (Sustainability, Care and Compassion, Respect, Innovation, Prosperity, Trust).

Buku ini seterusnya diluncurkan sekali lagi sebagai Membangun Negara Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi pada 19 Januari lalu dengan naratif Malaysia Madani – mampan, sejahtera, berdaya cipta, saling menghormati, punyai keyakinan dan bersifat ihsan.

Ucapan Anwar dalam majlis itu dipenuhi petikan tokoh-tokoh terbilang seperti Rashid al-Ghannouchi, Amartya Sen, Pico della Mirandola, Ibn Qutaiba, William Shakespeare, Albert Einstein, Franklin D. Roosevelt, Ibn Khaldun, Neil Postman dan Profesor Sayed Naquib Al-Attas.

Lebih mantap lagi, Anwar mengumumkan tiga pemboleh daya strategik yang akan berfungsi sebagai enjin penggerak Malaysia Madani, iaitu Digitalisasi Perkhidmatan Rakyat, Pendayaupayaan Bakat Terbaik Negara dan Pemerkasaan Pengurusan Projek Strategik.

Tegas beliau, enjin utama Malaysia Madani, iaitu jentera kerajaan yang bertanggungjawab melaksanakan dasar-dasar perlu berfungsi secara optimal. Justeru, perlu diselesaikan segera isu tatakelola serta koordinasi, terutamanya bermula dengan pihak pengurusan atasan. Dalam konteks inilah rata-rata rakyat Malaysia menyambut baik pelantikan seorang sarjana tersohor negara, Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff sebagai Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Jabatan Perdana Menteri berkuat kuasa 2 Februari lalu.

Ketokohan Agus sebagai seorang cendekiawan awam yang sering mengulas isu-isu semasa membabitkan kedudukan dan hala tuju negara sudah terbukti. Sejak sekian lama beliau beraksi tanpa jemu dan ragu dalam forum terbuka atau dunia media sosial seperti Facebook.

Setelah bersara dari dunia akademik dan seolah-olah diketepikan oleh kerajaan waktu itu, Agus terus dilamar oleh Gabenor Gorontalo Indonesia, Dr. Hamka Hendra Noer untuk dilantik sebagai penasihat beliau merangkap Profesor Politik di Universitas Negeri Gorontalo.

PATRIOTIK

Sayang sekali bila kerajaan sebelum ini sepertinya tidak menghargai bakat terbaik negara sehinggakan ramai dalam kalangan mereka seperti Agus, terpaksa menyumbang bakti di negara luar yang lebih menghargai dengan memberikan layanan cukup tinggi.

Syukurlah bila Anwar muncul sebagai Perdana Menteri, agenda pendayaupayaan bakat terbaik negara dijadikan sebagai salah satu enjin penggerak Malaysia Madani. Kembalinya Agus untuk berkhidmat kepada negara pastinya akan diikuti oleh kepulangan brain-drain lain.

Seperti yang dinyatakan oleh Agus sendiri, tugas untuk menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat dengan maklumat yang betul dan tepat serta untuk mendidik dan menyedarkan rakyat akan keperluan untuk saling menghormati dan bersatu bukanlah perkara mudah. Sesungguhnya beliau tidak boleh melakukannya sendirian serta memerlukan kerjasama dan sokongan daripada semua bagi menjayakan tiga teras utama J-KOM, iaitu membudayakan ilmu, membudayakan masyarakat berkemahiran digital dan mengukuhkan semangat patriotik rakyat.

Pemilihan Agus adalah satu tindakan yang tepat kerana beliau mendukung perjuangan Anwar bukan sebelum PRU15 sahaja. Beliau menyebut, Anwar adalah pilihan beliau kerana prinsip perjuangan Anwar lebih secocok dengan jiwa beliau yang mendahulukan negara daripada bangsa.

Sejak 30 Oktober 2019, waktu Pakatan Harapan (PH) masih kerajaan lagi, beliau sudah bersuara hanya Anwar yang mampu membina kerajaan yang kuat, mampu melonjakkan ekonomi negara, memartabatkan kesejahteraan rakyat, mengharmonikan hubungan kaum dan membawa negara ke hadapan. Agus ternyata percaya kepada apa yang diyakininya dan berani mengambil risiko. Tidak seperti sarjana sains politik tempatan lain, Agus berani menongkah arus dengan menjadi satu-satunya penganalisis politik yang menyertai G70 menyatakan sokongan kepada Anwar.

Dalam tempoh kempen PRU15 berlangsung pula, Agus bergiat aktif memberi penjelasan ke atas isu-isu penting seperti ‘jika PH memerintah, terancamkah Melayu?’, ‘Apakah manifesto PH menjual kewarganegaraan?’, ‘Betulkah DAP itu komunis?’ dan sebagainya.

Tidak dapat diragukan lagi, segala penjelasan Agus ke atas isu-isu penting ini pastinya turut membantu PH muncul sebagai pemenang kerusi terbanyak dalam PRU15. Kini setelah Anwar dari PH menjadi Perdana Menteri, maka logiklah bila Agus dimasukkan ke dalam kerajaan.

Ada yang berpandangan bahawa berdasarkan ketokohan beliau, Agus sepatutnya diberikan jawatan lebih tinggi dan peranan lebih besar di dalam kerajaan. Begitupun, jawatan Ketua Pengarah J-KOM juga tidak kurang signifikannya kepada keutuhan kerajaan. Ini kerana sudah semestinya seorang Perdana Menteri dengan daya intelektual tinggi memerlukan dukungan cendekiawan dengan daya intelektual tinggi juga bagi memastikan tidak ada kelompangan dalam isu tatakelola serta koordinasi untuk menjayakan Malaysia Madani. – UTUSAN

Dr. Mashitah Mohd. Udin ialah Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×