PETALING JAYA: Jangkaan kemelesetan ekonomi dunia tahun ini boleh memberi tekanan terhadap permintaan dan memperlahankan perkembangan perdagangan dunia, seterusnya dapat menurunkan kadar inflasi, kata penganalisis ekonomi.
Penurunan tersebut sekaligus menjadikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tidak mustahil dikekalkan pada 2.75 peratus.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, permintaan yang berkurangan pada 2023 boleh menurunkan kadar inflasi berbanding 2022 yang lebih tinggi.
Katanya, berdasarkan asas yang tinggi pada 2022, kadar inflasi untuk tahun ini menjadi lebih sederhana seiring dengan perlahannya permintaan di seluruh dunia.
“Sekiranya tiada gangguan geopolitik seperti perang Russia dan Ukraine, maka harga komoditi utama dunia terutamanya minyak mentah akan lebih stabil.
“Ini berbeza dengan kenaikan mendadak pada Februari tahun lalu sehingga AS$130 (RM550.62) setong, justeru peningkatan mencetuskan kenaikan kadar inflasi di seluruh dunia, bersama komoditi makanan utama dunia seperti gandum dan jagung.
“Justeru, tidak mustahil OPR dikekalkan pada 2.75 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) Mac depan sekiranya kadar inflasi menurun,” katanya, semalam.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebelum ini berkata, OPR boleh terus dikekalkan pada paras 2.75 peratus jika kadar inflasi terus menurun atau mereda.
Menurutnya, apa yang memacu kadar naik turun inflasi ketika ini adalah perbelanjaan pengguna di restoran sama ada makan atau bawa pulang selain di hotel.
Justeru Rafizi berkata, pengguna yang perlu memainkan peranan utama bagi menentukan kadar in asi itu.
Sementara itu, Aimi Zulhazmi tidak menolak faktor lain yang boleh menyebabkan kenaikan OPR iaitu pergerakan modal dunia yang disebabkan oleh kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).
“Bagaimanapun, perkara ini hanya boleh diputuskan berdasarkan situasi ekonomi tempatan dan global pada awal Mac atau pada akhir Februari nanti,” ujarnya. – UTUSAN










