Siapa kata saya bersara?– Jamal Jamaluddin - Utusan Malaysia

Siapa kata saya bersara?– Jamal Jamaluddin

JAMAL JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUNYI guruh disertakan pula dengan suara seorang lelaki menyebut perkataan ‘Ganda 23’, cukup sinonim dengan sosok lelaki bernama Jamal Jamaluddin ini.

Jika anda merupakan pendengar setia radio untuk segmen berjudul Cetusan Hati di saluran Sinar FM, suara lelaki inilah yang akan menghiasi malam-malam hari anda sambil berbicara mengenai soal hati dan hubungan antara pasangan.

Sebagai seorang juruhebah radio, Jamal boleh dikatakan istimewa kerana mampu membuatkan masyarakat seringkali terpukau hanya dengan mendengar suaranya.

Tetapi bukan itu sahaja yang membuatkan dirinya ‘mahal’ kerana keunikan Jamal sebenarnya terletak pada identiti dirinya yang tersendiri.

Pun begitu, apabila dirinya sudah lama tidak ke udara, ada yang menganggap Jamal sudah tidak sudi lagi untuk menghiburkan pendengar dan peminat.

Malah, ada juga yang menganggap lelaki ini sudah bersara dan mahu fokus pada bidang lain yang tidak punya kaitan dengan dunia penyiaran.

“Bersara? Belum lagilah. Memang saya sudah lama tidak ke udara kerana kalau sesiapa yang ingat, sekitar April 2019, saya mengambil tawaran Skim Pemisahan Sukarela (VSS) dengan Sinar FM.

“Dan ya, bukan sebab sudah tua juga ya!,” katanya sambil berseloroh.

JIWA TETAP DUNIA PENYIARAN RADIO

Mahu membetulkan persepsi salah, kongsi Jamal, jiwanya tetap ada pada dunia penyiaran radio namun untuk menyara kehidupan selepas berhenti daripada Sinar FM, buat sementara waktu, dia banyak mengambil tawaran secara sambilan.

“Itu tidak bermaksud saya sudah tak mahu jadi juruhebah sepenuh masa. Cuma pada waktu ini keadaan sedikit sukar buat banyak sektor. Malah saya sendiri masih berusaha untuk mendapatkan kerja tetap di mana-mana radio yang memerlukan khidmat.

“Sementara itu, syukur juga kerana sebuah syarikat pembekal jubin dan peralatan rumah, Super Ceramic sudi menjadikan saya duta produk mereka dengan kontrak selama tiga tahun,” katanya.

Bercerita lanjut, kata Jamal, dia ada mengadakan perbincangan dengan stesen radio tertentu dalam usaha untuk kembali ke dalam industri.

Cuma, dia mengakui bahawa kali ini seandainya ada rezeki untuk kembali bergelar juruhebah, pilihannya adalah untuk ke stesen radio lain dan bukan lagi bersama Astro.

“Saya adalah kumpulan terakhir di Sinar FM yang mengambil skim tersebut dan telah mencurah khidmat sejak tahun 1998 lagi. Masih saya ingat, ia juga adalah tahun pertama Transit Aliran Ringan (LRT) mula beroperasi sepenuhnya.

“Sudah lama dan banyak pengalaman diraih di sana, jadi kali ini jika boleh saya mahu melebarkan sayap ke stesen lain pula demi pengalaman baharu.

“Tidak kisahlah, sama ada ke udara atau pun mencurah khidmat sebagai tenaga pelatih buat juruhebah-juruhebah muda, saya okey sahaja. Apa yang penting, saya belum bersara,” katanya.

RAMAI KECEWA

Menurut lelaki berusia 57 tahun ini, sejak dilihat tidak aktif sebagai juruhebah, dia juga dihujani dengan banyak pertanyaan dalam pelbagai platform media sosial.

Malah, katanya, ada juga segelintir peminat dan pengikut, yang melahirkan pendapat dan rasa kecewa kerana ada antara juruhebah generasi baharu sekarang yang tidak memiliki pendekatan menarik.

“Ramai yang mengeluh pada saya dan katakan sekarang ini juruhebah di radio sudah tidak begitu dekat dengan pendengar. Tak ada keunikan.

“Sebenarnya, pihak stesen radio perlu mendengar keluhan mereka kerana radio adalah medium yang sangat intim dengan pendengar.

“Malah, pendengar juga mampu membina jambatan perhubungan dengan juruhebah radio itu sendiri dan ia seharusnya dijaga dengan baik,” katanya.

Menurut Jamal, dia sendiri mengakui, zaman sekarang suasana dalam bidang penyiaran radio juga berbeza.

Kecenderungan pihak stesen radio dilihat lebih terarah pada individu yang terkenal atau popular dalam sesebuah platform lain terlebih dahulu, menjadikan ramai individu yang lebih layak atau berkaliber terpaksa diletakkan di belakang.

“Kadangkala saya rasa kasihan. Contohnya, pelajar-pelajar bidang penyiaran seperti di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) misalnya.

“Mereka pun tahu kalau tidak menyertai program realiti misalnya, susah nak tembus ke industri ini.

“Saya cadang, kalau anda ada hasrat untuk masuk ke bidang ini, sentiasalah percaya pada diri. Kalau ada impian itu, jangan cepat putus asa sebab kejayaan akan datang walau cepat atau lambat jika anda berusaha,” katanya.

Mengaitkan pengalaman hidupnya, kata Jamal, bagi mereka yang mungkin tidak tahu, sebelum menyertai Sinar FM, hampir 12 tahun juga dia menunggu peluang itu untuk datang padanya.

“Bila tamat pengajian di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1986, memang saya berazam nak jadi juruhebah radio tetapi hasrat itu cuma tercapai pada tahun 1998.

“Bayangkan betapa lama saya tunggu. Jika tidak kerana minat dan percaya pada diri, mungkin saya sudah lama melupakan hasrat itu,” katanya.

 

Jamal (dua dari kanan) bersama rakan penyampai radio lain antaranya Halim Othman dan Dj Sonic.

PESANAN JAMAL

Dalam pada itu, sebagai seorang juruhebah senior, Jamal tidak lokek memberi sedikit pesanan buat mereka yang ingin menjadikan juruhebah sebagai kerjaya.

Katanya, seseorang juruhebah memainkan peranan besar ketika sedang ke udara dan ia tidak cuma dengan bercakap sahaja.

Menurutnya, pengisian percakapan juga seharusnya mencerminkan kebijaksanaan seseorang juruhebah dan kerana itu, raihlah seberapa banyak ilmu dengan banyak membaca.

“Kalau nak terlibat dalam dunia penyiaran, anda kena sentiasa peka dengan banyak topik termasuk keadaan semasa. Sebab itulah, pengetahuan am ini penting.

“Pantang saya kalau sedang bertugas dan berkomunikasi dengan pendengar, tiba-tiba anda sebagai seorang juruhebah menyebut ‘saya tidak tahu’ tentang sesuatu bab.

“Nak jadi juruhebah yang berkaliber, kenalah ada pengetahuan am yang bagus ya. Sekarang, semua benda ada di hujung jari. Jadi jangan malas membaca ya,” katanya.

Seperkara lagi, kata Jamal, memiliki identiti tersendiri juga memainkan peranan buat seseorang juruhebah itu andai mahu diingati oleh pendengar.

Bukanlah mahu menyindir mana-mana pihak, tetapi bagi Jamal, jika boleh juruhebah yang profesional tidak akan mencampur-adukkan perihal peribadi dengan tugas yang disandang.

“Kalau boleh, elakkan terlibat dengan sebarang kontroversi, tetapi sebaliknya ciptakan identiti. Itu yang akan membuatkan anda dekat di hati pendengar dan kerana itu jugalah sehingga sekarang,

ramai yang ingat nama saya dengan perkataan Ganda 23.

“Jika anda mempunyai identiti tersendiri, itulah yang akan membezakan anda dengan mana-mana juruhebah yang lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×