UMNO tidak mahu lagi pejuang palsu

UMNO tidak mahu lagi pejuang palsu

KEPIMPINAN Ahmad Zahid merupakan contoh pemimpin yang berani dan sudah pun menyatakan komitmen bagi menyiapkan persiapan menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TINDAKAN UMNO memecat serta menggantung beberapa ahli membuktikan kesungguhan untuk terus mara ke hadapan tanpa membuang masa melayan karenah dan gangguan dalaman yang akan terus mensabotaj dan melemahkan sokongan rakyat terhadap parti itu. Tindakan ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan rakyat memandangkan UMNO sudah lama bertapak dan melalui pengalaman matang dalam membawa kestabilan dan keutuhan ahli dan parti.

Tindakan sedemikian juga pasti akan dilakukan oleh mana-mana parti lain sekiranya ada ancaman mahupun gangguan dalaman yang terus mencetuskan kekalutan dan keserabutan lebih-lebih lagi apabila terpaksa menghadapi pilihan raya.

Setiap ahli UMNO yang sayang dan setia terhadap parti perlu menerima hakikat bahawa perjuangan mereka pada saat ini memerlukan komitmen luar biasa. Sebarang usaha untuk menggagalkan kemenangan parti dalam pilihan raya negeri (PRN) dalam tempoh terdekat adalah penting bagi memastikan tiada sebarang tindakan sabotaj dilakukan oleh ahli sendiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kebijaksanaan perwakilan menyokong usul tiada pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden merupakan langkah tepat bagi mengelak perpecahan berlaku sekali gus membantu membina semula parti bagi menghadapi PRN dalam keadaan penuh strategik dan mengambil semula kerusi yang dimenangi parti-parti lawan. Timbul pelbagai persepsi kurang tepat akan berlaku proksi kononnya bagi memperkukuhkan pengaruh individu tertentu dan naratif usang bahawa krisis keyakinan akar umbi akan terhakis disebabkan tindakan pemecatan dan pergantungan tersebut.

Ini adalah sebahagian perang saraf yang dimainkan oleh segelintir pihak yang cuba mengambil peluang untuk menjatuhkan UMNO dan ia langsung tidak memberi kesan memandangkan kepimpinan jentera dan sayap sudah bersedia turun ke lapangan bagi menjelaskan sebarang isu yang menjadi senjata untuk melemahkan parti itu oleh pihak musuh. Sikap ahli parti dari akar umbi UMNO sudah pasti memberikan keyakinan dan sokongan penuh tanpa diragui lagi.

Ini berdasarkan keyakinan bahawa UMNO perlu diberikan nafas baharu lebih segar serta diberikan peluang kepada mereka yang lebih setia dan sayang terhadap parti berkenaan berbanding mereka yang hanya berlakon kononnya sayang terhadap parti padahal banyak membuat onar dan duri yang telah ditabur bagi menjahanamkan UMNO. Jika dibuat analisa yang tepat, kononnya pemecatan dan pergantungan tersebut akan menghilangkan aura terhadap sokongan anak-anak muda dan pengundi atas pagar merupakan satu andaian tidak boleh diterima.

KHAYALAN, KHURAFAT
Hakikatnya, anak-anak muda dan pengundi atas pagar tidak berjaya diperoleh sewaktu mereka masih mempunyai jawatan dan dicalonkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Ini semua hanyalah khayalan dan khurafat yang dibawa bagi membawa persepsi buruk terhadap UMNO sedangkan kewujudan mereka tidak membawa aura positif untuk menarik sokongan rakyat kononnya mereka sangat popular seperti digembar-gemburkan.

Bagi menjelaskan senario anak muda kini dan pengundi atas pagar melalui sokongan mereka terhadap UMNO sangat penting bagi parti melakukan transformasi pada ketika ini. Perubahan transformasi tidaklah sukar dan masih banyak calon yang lebih setia dan berwibawa di dalam UMNO.

Lihatlah bagaimana usaha Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merangka dan menyuburkan semula fungsi Majlis Ulama UMNO, Institusi UMNO, penggunaan media sosial, analisis data dan mengemukakan barisan calon kepimpinan baharu sebagai langkah tepat untuk membawa kegemilangan UMNO semula.

UMNO adalah sebuah parti yang telah berjuang sejak sekian lama untuk orang-orang Melayu. Sudah pasti tahap kesiapsiagaan dan keberanian sudah teruji sekian lama. Kepimpinan Ahmad Zahid merupakan contoh pemimpin yang berani dan sudah pun menyatakan komitmen bagi menyiapkan persiapan menghadapi PRN akan datang.

UMNO bukanlah sebuah parti rapuh dan lemah malah mempunyai jentera dan akar umbi yang kukuh. Cuma memerlukan barisan calon yang setia dan berani berjuang mempertahan parti keramat orang-orang Melayu itu. Kesetiaan ahli dari akar umbi sudah menunjukkan keyakinan penuh, hanya menunggu semboyan dibunyikan bagi menghadapi PRN dengan lebih tersusun dan menawan kembali kerusi dengan bergaya.

UMNO sudah membuat langkah yang tepat dengan membuang serpihan saki baki pejuang palsu dan membenarkan pejuang tulen mengambil tempat. UMNO akan terus kekal relevan jika usaha dan langkah pantas diambil sewajarnya. Jika usaha ini memberikan kesan dalam PRN, pasti ia adalah kesan yang baik kerana UMNO telah mengemukakan calon-calon yang lebih baik dan berwibawa serta diyakini rakyat. Rakyat dalam era madani memerlukan pemimpin yang berkelayakan serta mampu menggalas aspirasi dan tanggungjawab membawa negara lebih cemerlang dan dihormati di seluruh dunia.-UTUSAN

DR. Zuraimy Ali ialah Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×