PETALING JAYA: Tekanan yang dihadapi oleh golongan M40 ekoran kenaikan kos sara hidup dan inflasi, perlu diberi perhatian oleh kerajaan dalam pembentangan Bajet 2023, 24 Februari ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd. Khan berkata, sama seperti B40 dan miskin tegar, golongan M40 turut berhadapan dengan tekanan hidup.
Malah menurut Shazida Jan, nasib golongan M40 dilihat tidak ubah seperti ‘sandwich’ apabila ada antara mereka ditekan dari atas dan bawah disebabkan berhadapan pelbagai tekanan dalam aspek kewangan dan kenaikan kos sara hidup.
Katanya, keadaan itu dibuktikan dengan ulasan pelbagai pihak sebelum ini yang membongkar lebih ramai golongan M4O menjadi B40 disebabkan pandemik Covid-19.
“Jadi, kerajaan perlu ambil cakna mengenai perkara ini dan saya melihat pengurangan, pelepasan dan pengecualian cukai yang diperkenalkan dalam Bajet 2023 pada Oktober lalu perlu dikekalkan bagi meringankan beban M40.
“(Pelepasan dan pengecualian) cukai dilihat akan dapat meningkatkan real money untuk dibelanjakan dan kalau kita tingkatkan penggunaan, ia akan membawa kepada peningkatan permintaan,” katanya semalam.
Mengulas lanjut, Shazida Jan berkata, Bajet 2023 dilihat kritikal dalam memastikan kelangsungan pertumbuhan ekonomi yang mewakili keperluan setiap lapisan rakyat dan kumpulan masyarakat.
Justeru itu kata berkata, kepedulian kerajaan kepada golongan M40 sangat diperlukan, selain B40 dan miskin tegar yang sememangnya menghadapi tekanan hidup berterusan hingga menjadi parah selepas ancaman Covid-19.
“Seperti dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan di bawah pentadbirannya tidak akan meminggirkan mana-mana pihak, walaupun akan melakukan penelitian dan perincian ke atas Bajet 2023 yang telah dibentangkan sebelum ini.
“Kita harap pembentangan Bajet 2023 Oktober tahun lalu yang memberi penekanan kepada golongan M40, B40, wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU) dikekalkan pada pembentangan bulan hadapan,” katanya.
Shazida Jan turut menggesa agar Bajet 2023 nanti diluluskan dengan segera bagi memastikan keyakinan (pelabur dan rakyat) terhadap pertumbuhan ekonomi.
“Ia bukan lagi masanya untuk berbalah dan dijadikan bahan politik, kerana rakyat, peniaga dan pelabur perlukan keyakinan dalam memastikan kelangsungan pertumbuhan ekonomi yang positif.
“Kerajaan sedia ada perlu bijak dengan mendahulukan keperluan utama kepada rakyat, pelabur dan peniaga dan mengetepikan sentimen negatif selain bersiap siaga untuk sebarang kemungkinan kelembapan ekonomi pada tahun ini,” katanya. – UTUSAN










