Teruja pertama kali sambut Tahun Baharu Cina - Utusan Malaysia

Teruja pertama kali sambut Tahun Baharu Cina

Bazilah dan Farhan semasa majlis Adat Minum Teh sempena perkahwinan mereka tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perkahwinan bukan sahaja memeterai ikatan antara dua jiwa, tetapi juga keluarga.

Lebih menarik lagi apabila perkahwinan itu merentas budaya yang pastinya bakal membuka satu lagi lembaran kehidupan baharu buat pasangan.

Itu yang dikongsikan oleh guru bahasa di Universiti Putra Malaysia (UPM) Bazilah Bahaldin yang meluahkan rasa teruja bakal menyambut tahun baharu cina buat pertama kalinya selepas mendirikan rumahtangga bersama cina muslim, Muhammad Syafiq Farhan Boo Omar Boo,30.

Kata Bazilah, walaupun keluarga suaminya itu berstatus cina muslim, namun mereka tetap meraikan tahun baharu bersama saudara-mara berbangsa cina yang lain.

Tambahan pula, ini merupakan sambutan kali pertama buat dirinya selepas melangsungkan perkahwinan pada Julai tahun lalu.

“Saya rasa sangat teruja sebab sebelum ini hanya melihat kemeriahan sambutan di kaca televisyen sahaja, tetapi kali ini saya sendiri boleh merasai kemeriahan itu bersama ahli keluarga sebelah suami.

“Sangat seronok rasanya dapat membeli-belah baju raya bersama suami untuk dipakai pada hujung minggu ini dan sudah pasti momen yang paling ditunggu-tunggu adalah sesi pemberian angpau oleh saudara-mara,” katanya berseloroh.

Perkenalan yang hanya bermula sebagai rakan sekelas antara Bazilah dan Farhan ketika menuntut di sebuah universiti pada 2012 akhirnya dinoktahkan dengan perkahwinan pada pertengahan tahun lalu.

Tambahnya, perkahwinan campur itu juga memberi banyak pengalaman baharu dalam hidupnya.

Misalnya, semasa majlis perkahwinan tahun lalu, mereka meraikan dengan cara tradisi kaum cina iaitu Adat Minum Teh.

Katanya, dia banyak belajar perkara baharu daripada saudara-mara sebelah lelaki yang berketurunan cina mengenai adat berkenaan.

“Ibu saudara farhan banyak mengajar saya mengenai tradisi itu dan banyak membimbing saya bagaimana untuk berpakaian dan bercakap semasa majlis itu berlangsung. Ia sesuatu yang baharu dan menyeronokkan,” katanya.

Beri angpau
Bagi Farhan pula, sambutan tahun baharu pada tahun ini sedikit berlainan daripada tahun-tahun sebelumnya memandangkan statusnya kini yang sudah bergelar suami.

Sudah tentu, daripada menerima angpau, kini dia pula yang harus memberi angpau kepada saudara-mara yang masih belum berkahwin.

“Mengikut tradisi kami, sesiapa yang masih belum berkahwin boleh menerima angpau walaupun sudah berusia atau sudah bekerja.

“Yang sudah berkahwin pula harus memberi angpau. Jadinya, tahun ini saya dan isteri harus menyediakan angpau untuk berikan kepada saudara-mara,” jelasnya.

Bagaimanapun, tambah Farhan, suasana sambutan pada tahun ini agak sedikit suram kerana kesihatan ayahnya yang tidak mengizinkan.

Hal ini kerana ayahnya, Omar Boo yang kebiasaannya menjadi tunjang dalam membuat persediaan menyambut perayaan tahun baharu cina.

“Ayah yang sering menyediakan juadah untuk makan besar selalunya kerana ayah berketurunan cina dan sangat mahir menyediakan lauk-pauk tradisi.

“Ibu saya pula melayu dan biasanya ibu hanya akan membantu ayah untuk menyiapkan juadah sampingan. Tahun ini mungkin tiada makan besar kerana ayah sakit dan sambutan kecil-kecilan sahaja,” katanya.

Steamboat juadah istimewa
Ditanya tentang juadah yang paling istimewa bagi meraikan perayaan tersebut, kata Farhan, hidangan steamboat air tangan ayahnya sentiasa dinanti-nantikan oleh keluarga.

Ayahnya yang pernah bekerja sebagai pembantu cef di sebuah restroran di New York mempunyai citarasa yang baik dalam menghidangkan juadah yang istimewa.

“Kalau dulu, setiap kali sambutan tahun baru ayah akan pulang awal ke rumah nenek dan masakkan juadah istimewa untuk makan besar memandangkan hanya keluarga kami sahaja yang muslim.

“Adik-beradik ayah yang lain (bukan muslim) akan pulang untuk menikmati juadah yang ayah sediakan kerana mereka menghormati kami sebagai muslim.

“Jadi, tiada isu setiap kali kami sambut ramai-ramai. Jika menziarahi keluarga lain pula, kami sekadar menziarah sahaja dan tidak makan, mereka pun faham,” katanya yang juga pengasas akademi bahasa mandarin, Miximax Academy.

Juadah tradisi
Turut menggemari juadah tradisi kaum cina, Bazilah berkata dia mahu menuntut ilmu daripada bapa mertuanya kelak.

Katanya, juadah pertama yang ingin dipelajari adalah dimsum kerana dia sendiri sangat menggemari hidangan berkenaan.

Lebih-lebih lagi katanya, kaum cina sangat teliti dan partikular dalam penyediaan makanan menyebabkan dia tertarik untuk mempelajarinya.

“Saya ingin belajar membuat dimsum dengan ayah mertua kerana dimsum yang dibuat oleh ayah sangat sedap.

“Selepas itu mungkin saya akan mempelajari beberapa jenis juadah tradisi yang lain pula,” ujarnya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×