KOTA TINGGI: “Kami sangka banjir hanya paras betis, namun rumah kami telah dinaiki sehingga paras pinggang.” Demikian luahan Zainon Omar, 51, seorang penduduk Jalan Balau 2, Taman Desaru Utama (TDU) yang menjadi mangsa banjir hari ini.
Ibu kepada tiga orang anak itu berkata, cuaca hujan sejak malam tadi dipercayai menjadi punca berlaku banjir di taman itu. Dia dan suaminya turut memapah ibunya, Azizah Khamis, 76, serta anak-anak mereka meredah banjir selepas mendapati air mula memenuhi ruang parkir keretanya.
“Hari ini saya sudah mula bekerja tetapi dalam masa sama sentiasa tanya perkembangan di rumah dengan anak-anak. Pukul 12 tengah hari anak memaklumkan air sudah mulai naik di hadapan rumah.
“Saya terus bergegas balik mengambil barang, baju ibu serta dokumen penting keluarga kerana mahu cepat berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kerana memikirkan keadaan ibu yang uzur.
“Saya memang tak bawa apa-apa pakaian kerana sangka banjir ini sekejap sahaja dah surut, tetapi kami dimaklumkan bahawa petang ini berlaku air pasang besar selain keadaan cuaca yang masih hujan,” katanya ketika ditemui di PPS Dewan Muafakat Taman Desaru Utama (TDU), di sini.
Zainon berkata, banjir yang berlaku itu merupakan kali ketiga menimpa keluarganya sejak menetap di situ dengan yang pertama pada tahun 2021 kedua pada Disember lalu dan ketiga hari ini adalah paling teruk kerana paras air yang tinggi.
“Baru sebulan lebih kami hadapi banjir. Hari ini kami sekali lagi diuji. Banjir Disember lalu kami kerugian kira-kira RM3,000 kerana barang perabot yang rosak tapi kali ini kami tidak tahulah keadaan barang-barang dalam rumah kerana saya dimaklumkan jiran-jiran air sudah paras pinggang berbanding paras betis sebelum ini, ” katanya.
Seorang lagi mangsa, Md. Johari Dol, 67, berkata, kawasan perumahan itu mula dinaiki air pada pukul 7 pagi susulan hujan lebat sejak malam, namun air mulai surut pukul 9 pagi apabila hujan berhenti, tetapi mula naik semula selepas cuaca kembali hujan lebat.
“Kira-kira pukul 11 pagi air sudah mulai masuk ke dalam rumah. Air sangat deras, dalam tempoh dua jam air masuk ke dalam rumah dengan laju.Jika sebelum ini dua kali banjir, paras banjir kira-kira lima ke sembilan inci, namun kali ini air naik sehingga dua kaki,” katanya yang menaiki kenderaan pihak berkuasa berpindah ke PPS. – UTUSAN










