Kelaku elok, takkan kalih - Utusan Malaysia

Kelaku elok, takkan kalih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAK orang cakap, strike while the iron is hot – penentuan masa yang tepat penting dalam merencanakan tarikh pilihan raya.

Kalau diikutkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 ‘terbaik’ buat Barisan Nasional (BN) adalah pada Mac atau April tahun lalu sebaik sahaja parti itu menang besar pilihan raya negeri Johor. Tapi itu sudah jadi bahan akademik.

Bila ada momentum, sepatutnya disegerakanlah. Ini tidak, kata pihak yang sukar terima kekalahan teruk BN 19 November lalu. Jadi, bagaimana pulanya dengan enam pilihan raya negeri yang bakal menyusul yang mesti dibuat selewat-lewatnya Jun ini?

Jika dalam perkiraan tidak mahu terlepas pengundi jemaah haji, penerbangan pertama haji ke Tanah Suci adalah 21 Mei ini. Adakah kerajaan Pas Kelantan, Terengganu dan Kedah akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing hujung April ini, sebaik sahaja selepas sambutan Aidilfitri 22 April?

Pakatan Harapan (PH) pula pastinya menuruti jejak sama bubarkan tiga lagi DUN di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan? Khabarnya enam PRN ini dijangkakan berjalan serentak selewat-lewatnya dalam minggu kedua Mei.

Momentum dikatakan masih bersisa di tangan Perikatan Nasional (PN) yang sapu bersih kesemua 13 kerusi parlimen di Kedah, lapan (Terengganu) dan 14 di Kelantan dalam PRU15.

Cumanya hari ini, politik Malaysia amat dinamik dan penuh kejutan. Tiada siapa boleh mendabik dada mendakwa hanya calon dan partinya boleh meraih undi rakyat. Alpa seketika apabila ada pemimpin parti bikin onar, nantikanlah sahaja padahnya.

Daripada enam PRN kelak, Kedah antara negeri yang menarik untuk dikaji kecenderungan pengundinya. Negeri Malay Heartland ini sebahagian besar kerusi DUN nya kawasan majoriti Melayu.

Budaya politik Kedah sinonim dengan 3P iaitu (Padi, Pondok dan Pas). Dalam erti kata lain, di mana ada padi, di situ ada pondok. Di mana ada pondok, di situlah pula adanya Pas.

Meskipun semua kerusi parlimen disapu bersih Pas, dari segi kesetiaan kepada parti, penyokong BN dan Pas masih sama kuat. Jika jangka masa PRN terus berjalan melangkaui Jun dengan satu dua pembaharuan utama tampak dilakukan kerajaan perpaduan, undi penentu kemenangan dipercayai ditentukan oleh Melayu atas pagar.

Undi bukan Melayu pula menjadi pengundi minoriti di kebanyakan DUN.

Ada mengatakan PRN dan PRU15 berbeza rentak dan drama­nya. Biar apa pun telahan analisisnya, calon parti mestilah memiliki ciri-ciri bak kata orang Kedah – kelolo, hemoi, tak perongoih sebaliknya senang didampingi. Masih ingat tak lagi penangan Datuk Othman Abdul dari BN mengalahkan giant killer Pas ketika itu, Mohamad Sabu di kerusi Parlimen Pendang pada 2013. Antara faktor kuat Othman menang kerana dia tidak kekok turun sampai ke kedohok apabila menghadiri majlis-majlis kenduri termasuk kenduri dari penyokong Pas selain sikap bersahajanya yang disenangi ramai.

Paling penting, pimpinan parti yang kalah jangan layanlah kehendak pemimpin dan calon ‘kitar semula’ yang tewas pada PRU lalu untuk ‘tumpang tui’. Jangan sampai pengundi tengok pun ‘cemuih’ atau jemu. Walaupun tempoh antara PRU dan PRN cuma beberapa bulan, parti-parti bertanding perlu berani tampil calon wataknya yang boleh ‘belemoih’ dan ‘begelomiang’ dengan rakyat.

Dan kedengaran hinggap di telinga pihak media di negeri itu: “Kami masih sayang parti yang kalah itu. Kalau depa nak menang, depa kena buat kelaku (perangai) elok, sebab sejarah dah tunjuk dah, pengundi Kedah boleh ‘kalih’.”

Zulkifli Jalil adalah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia