PETALING JAYA: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) ‘berhalusinasi’ dengan membuat kemunculan semula bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) terutama menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang.
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy berkata, Gerakan mahu membuat kemunculan politik di dalam gabungan Perikatan Nasional (PN), hakikatnya, tiada parti politik bukan Melayu yang menyertai gabungan itu secara terhormat dan bermaruah.
ADUN Perai dari DAP itu berkata, parti yang dipimpin Presiden, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai itu tidak memiliki masa depan, namun mahu menyertai pilihan raya.
“Memandangkan suasana kaum dan agama sudah terbahagi, saya benar-benar tertanya sama ada beliau berhalusinasi atau tidak.
“Penduduk bukan Melayu dalam pilihan raya lalu jelas membuktikan berpihak kepada Pakatan Harapan (PH) atau parti politik Kerajaan Perpaduan. Orang bukan Melayu telah terasing sepenuhnya daripada PN terutama parti ekstremis agama Pas,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Utusan Online semalam melaporkan, Gerakan mengakui mempunyai tanggungjawab besar bagi memastikan undi golongan bukan Melayu khususnya kaum Cina supaya memihak kepada PN dalam pilihan raya negeri.
Katanya, Gerakan mesti memberi mesej yang benar-benar positif kepada pengundi bukan Melayu untuk menerima PN kerana gabungan itu dipercayai lebih bersih dan berintegriti.
Mengulas lanjut, Ramasamy berkata, impian Gerakan untuk menghidupkan kembali kejayaannya pada masa lalu bukan alasan yang mencukupi kerana punca utama kejatuhan politiknya bermula di Pulau Pinang.
“Pengundi di Pulau Pinang mungkin mengingati Gerakan atas sebab yang salah, terutamanya sebab-sebab yang menyumbang kepada penolakan parti.
“Bersama dengan Bersatu dan Pas nampaknya perkara terakhir bagi Gerakan sebelum kehilangan terakhirnya dalam arena politik Malaysia. Nasib yang sama juga menanti MCA dan MIC yang masih belum membuat keputusan bersama PN atau BN,” katanya.
Dalam hantaran berasingan, beliau berkata, Gerakan tidak sedar bahawa parti itu berada dalam kedudukan yang sukar untuk bercakap mengenai hak golongan bukan Melayu.
Katanya, sudah tentu ia akan menjadi satu keajaiban baharu dunia jika parti itu dapat meyakinkan orang bukan Melayu bahawa PN adalah yang terbaik untuk mereka.
“Persoalannya, bagaimana meyakinkan bukan Melayu di tempat seperti Pulau Pinang untuk mengundi PN? Sukar untuk Gerakan menerangkannya kepada bukan Melayu.
“Jauh di sudut hati, beliau tahu bahawa PN takkan pernah membuat apa-apa kemajuan untuk bukan Melayu,” katanya. – UTUSAN










