RIYADH: Arab Saudi dijangka mengatasi Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam menerima pelaburan langsung asing (FDI) pada 2023, kali pertama sejak 2012, lapor Lumina Cross-Border.
Menurut laporan itu, FDI ke Arab Saudi dan UAE mencapai rekod tertinggi berjumlah AS$40 bilion (RM172.62 bilion) pada 2022, peningkatan sebanyak 58 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Projek MENA pemacu utama pelaburan FDI dan UK ke Asia Barat pada 2023, merangkumi infrastruktur dan kejuruteraan, pelancongan dan hospitaliti, dan tenaga bersih/boleh diperbaharui, terutamanya projek mega di Arab Saudi.
“Sebagai contoh, tujuh projek infrastruktur utama Arab Saudi akan menelan belanja AS$690 bilion (RM2.98 trilion) iaitu NEOM, ROSHN, Gerbang Diriyah, Jeddah Sentral, Projek Laut Merah, AlUla dan Qiddiya,” jelas laporan itu, dipetik oleh Arab News.
Laporan itu turut meramalkan bahawa pelaburan dua hala antara Asia Barat dan Eropah akan memacu paras FDI yang bakal mencatat rekod pada tahun ini.
Jelasnya, memandangkan syarikat korporat dan dana global semakin bertapak di rantau itu, selain bakat yang terus bergerak masuk, 2023 dijangka menjadi satu lagi tahun rekod FDI di Asia Barat.
Katanya, urusan membuat perjanjian juga dijangka berkembang berikutan persekitaran penggabungan dan pengambilalihan global diterajui syarikat serantau yang berdaya tahan pada tahun lalu.
Laporan itu juga menjangkakan perubahan ketara dalam perkongsian sedia ada di rantau berkenaan kerana firma di United Kingdom (UK) akan menilai semula usaha sama mereka di Asia Barat susulan perkembangan semasa di sana.
Menurut Andrew Nichol, rakan kongsi di Lumia Capital Advisers, 2023 akan merekodkan dua kisah di Asia Barat, pertama, separuh pertama (1H2023) menyaksikan korporat Asia Barat sangat aktif dan dana terus melabur ke dalam syarikat Eropah,
kerana pasaran domestik terus menghadapi pelbagai tahap pergolakan ekonomi.
“Ini akan mewujudkan pelbagai peluang pelaburan global dan mendapat akses kepada kemahiran serta bakat terbaik dalam kelasnya,” katanya. – AGENSI










