Antara deretan coklat dihidangkan, satu hidangan coklat berbentuk bujur dan berwarna hijau menarik perhatian kerana diperbuat dari serai!
Coklat biasanya digabungkan dengan kekacang atau buah-buahan kering seperti kismis tapi yang berperisa serai belum pernah dicuba. Namun sebaik sahaja coklat berperisa serai itu dimasukkan ke mulut, rasanya memang tidak mengecewakan.
Rasa serainya tidaklah terlalu kuat tapi masih dapat dirasai bila dikunyah bersama coklat putih yang menyalutinya.
Sememangnya ia memberikan pengalaman menikmati coklat yang unik dan berbeza dengan coklat biasa.
Resipi istimewa coklat serai itu adalah hasil air tangan Cef Amanda Lim Gek Choo, 45.
Beliau yang juga Penasihat Teknikal dan Gourmet Barry Callebaut, bukan saja menggunakan serai sebagai perisa tetapi pelbagai rempah lain seperti kari dan cili.
“Saya suka gunakan herba tempatan dalam menghasilkan coklat seperti serai, kari dan cili. Saya juga pernah hasilkan resipi coklat berperisa daun limau dan bunga lawang. Saya hasilkan kek coklat berperisa kari dan ternyata pelanggan menggemarinya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Lim ditemui pada majlis pembukaan Pusat Kecemerlangan Perniagaan Asia Pasifik (APAC BEC) bagi pengeluar produk coklat dan koko, Barry Callebaut baru-baru ini.
Pada majlis itu, Lim menghidangkan aneka hidangan berasaskan coklat hasil rekaannya.
Berperanan mencipta resipi berasaskan coklat di syarikat terkemuka di dunia itu, anak kelahiran Petaling Jaya itu kerap ke luar negara terutama negara di Asia Tenggara. Bermula dari situlah, beliau mendapat inspirasi menggabungkan coklat dengan herba.
“Hampir setiap bulan saya akan ke luar negara seperti ke Indonesia, Mynmar dan Vietnam. Setiap negara menggunakan bahan mereka sendiri dalam menghasilkan coklat atau masakan tempatan.
“Bila saya keluar negara untuk membuat demonstrasi coklat kepada pelanggan, saya gemar gunakan bahan yang sesuai dengan citarasa penduduknya. Sebagai contoh, bila ke Indonesia, saya suka rempah ratus digunakan dalam kek lapis mereka seperti buah pala dan kayu manis. Saya cuba gabungkan rempah ratus ini ke dalam resipi coklat,” katanya.
SEIMBANG RASA
Lim tidak takut mencuba. Katanya rasa rempah dan herba yang digunakan perlu seimbang dengan rasa coklat.
Begitupun, rasa rempah tidak perlu terlalu banyak hingga menenggelamkan rasa sebenar coklat.
Ujarnya, banyak rempah dan herba boleh diselitkan dalam coklat bagi mendapatkan perisanya tetapi ini bergantung kepada dos atau kuantiti yang digunakan.
Bagaimanapun, Lim menegaskan dia tidak sesekali menggunakan bahan perisa atau pewarna tiruan semata-mata untuk mendapatkan rasa rempah atau herba.
“Semua herba dan rempah yang saya gunakan adalah daripada sumber asli. Contohnya, serai. Saya hiris dan masukkan ke dalam krim. Saya biarkan selama empat jam sehingga sebati. Kuantitinya sedikit saja kerana rasa coklat adalah yang penting perlu dinikmati,” katanya.
Berkelulusan dalam bidang pengurusan hotel dari Taylor College, Lim mula bekerja di Hotel Shangri-La sebaik menamatkan pengajian pada tahun 2000, sebelum menyertai Hotel Mandarin Oriental.
Beliau turut berpengalaman bekerja dalam pelbagai bidang makanan dan minuman (F&B) seperti di restoran. Sejak tujuh tahun lalu, beliau menerima tawaran bekerja dengan pengeluar koko dan coklat terkemuka dunia, Barry Callebaut.
“Bekerja dalam bahagian pastri di hotel dan restoran, memberikan saya pengalaman yang cukup luas dengan menerokai cara membuat aneka pastri termasuk kek dan ais krim. Bagaimanapun, saya banyak bekerja di belakang tabir atau di dapur.
“Di Barry Callebaut, saya menimba pengalaman baharu di mana saya berpeluang tampil di depan pelanggan untuk menunjukkan hasil resipi menggunakan coklat kami. Secara tidak langsung, ia membina personaliti dan keyakinan saya. Sebelum ini saya seorang yang agak penakut,” katanya.
Mengakui gembira setiap kali menyediakan resipi baharu katanya, sudah banyak resipi berasaskan coklat dihasilkannya dan semuanya disimpan dalam Bank Resipi di pejabatnya iaitu di kilang Barry Callebaut di Pelabuhan Klang.
Kalau tidak ada sebarang tugasan lain atau mesyuarat, beliau akan menghabiskan kebanyakan masanya di dapur yang disediakan di situ untuk membuat penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan resipi baharu.
“Bekerja dalam bidang ini memerlukan saya berfikir di luar kotak. Perlu banyak membaca dan membuat penyelidikan. Rumah saya juga penuh dengan buku resipi untuk rujukan,” katanya.
Mengulas mengenai visi, beliau mahu terus mengembangkan kerjaya dan belajar daripada kalangan pakar.
“Saya mengagumi Cef Ramon Morato yang sangat berkemahiran. Beliau seakan saintis di syarikat kami dan berpengalaman luas,” katanya.
Walaupun jumlah resipi coklatnya tidak terkira, Lim tidak pernah terlintas untuk menghasilkan buku resipi. Namun, dia tidak menolak kemungkinan untuk mengeluarkan himpunan resipi berasaskan coklat hasil ciptaannya.
Katanya, bagi menghasilkan sesuatu pastri memerlukan kesabaran yang tinggi kerana ia berbeza dengan masakan biasa yang bahannya boleh diagak atau dicampak-campak saja ke dalam periuk.
“Bagi menghasilkan hidangan berasaskan coklat yang enak, penting untuk menyukat bahan dengan tepat. Tak semestinya kena guna coklat atau mentega yang mahal. Kena sabar dan tidak boleh terburu-buru bila menyediakan pastri.
“Buat sesuatu kena betul-betul minat baru boleh hasilkan produk menarik dan berkualiti tinggi. Bila berjaya, kita akan rasa gembira. Orang yang menikmatinya pun rasa seronok,” katanya.










