KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) boleh membuat kejutan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di tiga buah negeri yang dikuasai Pakatan Harapan (PH) walaupun bakal memasuki gelanggang kempen pilihan raya dengan peluang yang kecil.
Negeri-negeri ditadbir PH itu adalah Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang dijangka berjalan serentak dengan tiga lagi pilihan raya negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, tahun ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, parti masih belum selesai berbincang mengenai persiapan menghadapi pilihan raya.
Bagaimanapun, katanya, PN mempunyai strategi tertentu yang tidak akan didedahkan kepada pihak lawan selain terus membina kejayaan berdasarkan kemenangan di beberapa kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), baru-baru ini.
“Tidak dinafikan PH ada kekuatan mereka tersendiri. Kalau lihat apa yang berlaku di mana serangan bertubi-tubi ke atas PN dan menjatuhkan integriti dengan pelbagai tuduhan yang belum dibuktikan lagi, kami tetap sedia menghadapi ancaman itu dan mempertahankannya.
“Kami akan mewakili suara majoriti orang Melayu, dan tunjukkan kepada bukan Melayu bahawa kami bukan rasis. Sebaliknya, PN ada agenda lebih baik dalam pentadbiran negara,” kata Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada Bersatu) itu ketika dihubungi semalam.
Dalam PRU15 sebelum ini, keenam-enam negeri berkenaan tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
PRN mesti diadakan selepas DUN dibubarkan atau DUN akan terbubar dengan sendirinya apabila mencapai tempoh lima tahun sejak pilihan raya negeri yang berlangsung sebelum itu.
Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini dilaporkan berkata, gabungan itu telah menyelesaikan kira-kira 80 peratus pembahagian kerusi DUN di enam negeri yang bakal mengadakan pilihan raya.
PH pula sebelum ini memberitahu masih belum memulakan perbincangan berkenaan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi pilihan raya, namun berpandangan tidak berdepan kesukaran bekerjasama nanti. – UTUSAN










