‘Adakah pertandingan selesaikan kemelut UMNO?’

‘Adakah pertandingan selesaikan kemelut UMNO?’

umno
PROSES pemecatan dan penggantungan tidak lagi dihormati dan pihak yang dituduh ‘mensabotaj’ tidak pun diberi ruang bela diri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Pertandingan jawatan tertinggi UMNO terutamanya Presiden menerima reaksi yang berbeza pemimpin parti itu menjelang Pemilihan UMNO yang dijadual diadakan sebelum 19 Mei ini ekoran kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lepas. 

Bagaimanapun, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia, AHMAD FADHLULLAH ADNAN mempersoalkan sama ada demokrasi terhadap jawatan itu akan dapat menyelesaikan kemelut masalah yang dihadapi UMNO. 

Bagaimana Datuk Seri melihat Perhimpunan Agung UMNO 2022 kali ini untuk hari kedua? 

Kita dapat melihat bahawa walaupun dalam kedudukan UMNO tidak begitu baik, sambutan kepada perhimpunan ini masih seperti dulu, sederhana tetapi bersemangat. 

Apakah yang perlu difokuskan perwakilan yang hadir? 

Saya percaya perhimpunan yang diadakan kali ini berlaku sebaik sahaja selepas kita selesai PRU15 dan selepas pembentukan kerajaan baharu, maka tentunya ia masih segar dalam pemikiran perwakilan. Dengan kedudukan UMNO tidak begitu baik yang memberi peluang dan ruang untuk semua perwakilan untuk sama-sama memikirkan mengenai kedudukan UMNO dan masa depannya. 

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor menang besar, tetapi kecewa dalam PRU15, jadi bagaimana persediaan enam negeri di PRN akan datang, adakah akan lebih susah? 

Dari segi jentera sebagai satu parti politik, kita memang sentiasa bersedia, tetapi keputusan itu bukan hanya bergantung kepada persiapan jentera, tentunya ada banyak perkara yang menyebabkan kita tidak berjaya dalam PRU15 lepas. Jadi, selain daripada jentera mesti bersiap sedia, kita juga mesti melihat kepada perkara-perkara yang telah tidak membantu kita semasa berhadapan pilihan raya baru-baru ini. Mungkin itu akan menjadi panduan dan menjadi perkara-perkara yang kita cuba atasi untuk membantu kita apabila berhadapan di PRN enam negeri yang lain. 

Pemimpin utama seperti Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Ketua Wanita, Datuk Noraini Ahmad menyifatkan jawatan Presiden tidak perlu ditandingi, pandangan peribadi Datuk Seri? 

UMNO sejak dari dahulu memang amalkan demokrasi, tetapi ada satu amalan dan tradisi UMNO yang mana jawatan Presiden itu jarang dipertandingkan kerana dianggap Presiden sebagai bapa atau ketua. Ketika itu UMNO sebuah parti yang besar, Presiden UMNO sebagai ketua orang Melayu. Hanya sekali Tun Hussein Onn dicabar,  Sulaiman Palestine (Sulaiman Ahmad), maka timbullah juga pandangan-pandangan yang tidak begitu menerima atau menyokong usaha bertanding lawan Tun Hussein pada ketika itu. 

Adakah perlu terus mengamalkan amalan dan tradisi itu? 

Secara pokoknya, memang dari segi tradisi jawatan Presiden itu tidak dipertandingkan. Namun begitu, seperti yang telah saya katakan tadi, UMNO mengamalkan demokrasi, tetapi itu dalam keadaan UMNO parti yang besar dan kuat. Hari ini UMNO adalah satu parti yang sudah kalah dan parti kecil jadi bagi mengukuhkan UMNO, apakah ia ubat mujarab? Adakah pertandingan (membawa) kesepakatan dan perpaduan? Adakah demokrasi dan pertandingan itu akan menyelesaikan kemelut masalah UMNO? UMNO adalah parti yang sudah kalah, tinggal kecil dan sedikit, adakah perpecahan itu akan membuatkan UMNO kuat kembali? 

Jadi mungkin kena letakkan keutamaan, lihat berasaskan pada tradisi itu dan kedua (fikirkan) bahawa ini bukan UMNO yang kuat dan gah macam dulu, ini UMNO tercedera, dalam keadaan tercedera ia perlu kekuatan untuk bangkit kembali dan mungkin bukan (melalui) pemilihan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×