PETALING JAYA: Jualan industri semikonduktor global diunjurkan jatuh 4.1 peratus pada 2023 selepas jangkaan kenaikan sebanyak 4.4 peratus tahun lalu, menurut ramalan Perangkaan Perdagangan Semikonduktor Dunia (WSTS) dan disokong oleh Persatuan Industri Semikonduktor (SIA) berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Industri menjangkakan jualan seluruh dunia industri akan mencecah AS$580.1 bilion (RM2.54 trilion) pada 2022, peningkatan daripada jualan 2021 sebanyak AS$555.9 bilion (RM2.43 trilion).
“Pada 2023, jualan global dijangka mencecah AS$556.5 bilion (RM2.43 trilion),” menurut WSTS dalam kenyataan.
WSTS menjadualkan ramalan industri separuh tahunannya dengan mengumpulkan input daripada sekumpulan besar syarikat semikonduktor global yang menyediakan penunjuk arah aliran semikonduktor yang tepat pada masanya.
Sementara itu, SIA dalam kenyataan di laman webnya memberitahu, jualan global semikonduktor jatuh 9.2 peratus tahun ke tahun pada November 2022 kepada AS$45.5 bilion (RM199.07 bilion) daripada AS$50 bilion (RM218.76 bilion) setahun sebelumnya.
Menurut SIA, angka itu adalah 2.9 peratus lebih rendah daripada jumlah jualan pada Oktober sebanyak AS$46.9 bilion (RM205.19 bilion).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SIA, John Neuffer berkata, jualan semikonduktor global menurun pada November, sebahagian besarnya disebabkan oleh kitaran pasaran dan masalah ekonomi makro.
“Jualan ke AS meningkat berbanding November 2021, manakala jualan ke China menurun secara mendadak pada asas tahun ke tahun,” katanya.
SIA berkata, di peringkat serantau, jualan tahun ke tahun meningkat pada November di benua Amerika (+5.2 peratus), Eropah (+4.5 peratus) dan Jepun (+1.2 peratus), tetapi menurun di Asia-Pasifik/dan lain-lain (+13.9 peratus) serta China (+21.2 peratus).
Jualan bulan ke bulan pula menurun di semua wilayah iaitu Eropah (-1.0 peratus), Jepun (-1.2 peratus), Amerika (-1.4 peratus), Asia-Pasifik/dan lain-lain (-3.0 peratus) serta China (-5.3 peratus). – UTUSAN










