Usia bukan penghalang dan hanya mereka berminat sahaja berupaya mengejar kejayaan itu. Ringkas kenyataan novelis, Osman Ayob yang berjaya mengenggam Ijazah Sarjana Sastera pada usia 71 tahun.
Novelis tidak asing lagi di Kedah ini mengakui, menghabiskan pengajian juga bukan perkara mudah dilakukan. Aset yang penting ialah kesungguhan dan kesihatan yang baik.
“Banyak cabaran terpaksa ditempuhi untuk terus berjaya dalam bidang ini. Yang penting kesihatan mesti baik. Melalui kesihatan, banyak idea menarik boleh dilakukan dalam menghasilkan karya berkualiti, termasuk menulis rencana politik dan lain-lain,” katanya selepas memperoleh Ijazah Sarjana Sastera sempena Majlis Konvokesyen Ke-60 Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, baru-baru ini.
Mengenai ijazah diterimanya, Osman memberitahu, beberapa permohonan bagi melanjutkan pelajaran di universiti awam tempatan ditolak sejak 2013 lagi.
“Kejayaan ini bermula hasil mengikuti program Pengajian Jarak Jauh (PJJ) di USM dan ketika itu, hanya universiti ini yang menawarkan pengajian di luar kampus sehingga saya terima ijazah Sarjana Muda Sastera pada penghujung 2017.
“Isteri, Salmah Shuib, 69, terus memberi galakan dalam hal ini,” katanya.
Osman adalah antara 524 graduan ijazah Sarjana yang menerima sijil masing-masing pada sidang kelima konvokesyen berkenaan yang disempurnakan Pro-Canselor USM, Tan Sri Mustafa Mansur.
HASIL 200 CERPEN
Osman yang berasal dari Sungai Daun, Yan, Kedah berkata, sehingga kini, berjaya menghasilkan 200 cerpen yang dimuatkan dalam 10 kumpulan cerpen perseorangan iaitu Bayangan Rindu (1981), Musim Itu Telah Berlalu (1984), Detik Yang Tergugat (1988-1989), Di Pinggir Kesedaran (1993), Melamar Rindu (2001), Bayangan Silam (2009), Perginya Seorang Srikandi (2011), Tembok Masih Tinggi (2014), Gila Tak Gila (2017), dan Sebuah Surau, Sebuah Rumah di Tepi Kondominium (2022).
Di antara sembilan novel dihasilkan iaitu Warna Sebuah Lembah (1990-2010), Embun di Hujung Daun (1999), Ombak Bukan Penghalang (2007), Empangan Tugal (2010), Lembah Kencana (2012), Anak Primadona (2012), CEO Baru (2013), Dukhan – Langit Akhir Zaman (2013) dan Kugenggam Tanganmu (2018).
“Saya juga telah menghasilkan 10 novel kanak-kanak, sembilan novel remaja iaitu Meniti Impian yang menjadi teks Komponen Sastera (KOMSAS) untuk Tingkatan Dua di sekolah menengah di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Selangor,” katanya.
MENULIS SEJAK 1975
Osman mula terlibat dalam bidang penulisan cerpen, novel, puisi dan esei sejak 1975 dan ada di antaranya tersiar dalam Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Tamadun Islam, Dewan Bahasa, Dewan Kosmik, termasuk di akhbar Mingguan Malaysia.
Hasil daripada giat menulis, dia berpeluang memenangi hadiah sastera di peringkat negeri dan kebangsaan.
Sempena sambutan Jubli Emas DBP pada 2006, Osman menerima hadiah sagu hati dalam satu peraduan dengan novel Ombak Bukan Penghalang dan novel remaja, Gelombang Buana










