Kemelut politik Sabah: Tiada kaitan lompat parti

Kemelut politik Sabah: Tiada kaitan lompat parti

HAJIJI Noor bersama pemimpin politik Sabah ketika mengadakan perjumpaan di Kediaman Rasmi etua Menteri di Sri Gaya Kota Kinabalu kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Isu kemelut politik Sabah yang berlaku ketika ini tidak ada kaitan dengan tindakan mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bertindak melompat parti lain.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar Perlembagaan, Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, apa yang berlaku ialah penarikan sokongan kepercayaan terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor oleh sebahagian ADUN UMNO-Barisan Nasional (BN).

Apatah lagi kata beliau, Kerajaan Negeri Sabah masih belum membuat pindaan terhadap Perlembagaan Negeri itu untuk menerima peruntukan berhubung undang-undang Anti Lompat Parti.

“Jadi undang-undang ini masih belum terpakai dalam konteks DUN Sabah, dan jika terpakai sekalipun ia tidak memberi kesan kepada mereka yang menarik sokongan kepada kepimpinan Ketua Menteri pada masa sekarang.

“Apa yang menarik perhatian di Sabah ialah dalam peruntukan Perlembagaan sedia ada mensyaratkan pemilihan Ketua Menteri dilantik dalam kalangan ketua parti yang mendapat majoriti,” katanya di sini semalam.

Kedudukan Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai Ketua Menteri menjadi pertikaian apabila pe­mimpin parti politik di ne­geri itu masing-masing menyua­rakan pandangan berbeza.

Bagaimanapun, Hajiji mendakwa telah memperoleh surat akuan bersumpah (SD) da­ri­pada 44 ADUN Sabah.

Belum sampai pun satu penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020, politik negeri itu masih tidak stabil apabila Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menarik sokongan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri.

Keputusan itu dilaporkan diambil kerana BN Sabah hi­lang kepercayaan kepada Hajiji sebagai ketua menteri, selain mendakwa perjanjian BN dan Perikatan Nasional (PN) membentuk Kerajaan Sabah selepas Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-16 tahun 2020 dilanggar.

Dalam masa sama, timbul cakap-cakap Parti Warisan (Warisan) dan BN berunding membentuk kerjasama melalui ‘pintu belakang’ sekali gus menggugurkan Hajiji daripada Pejabat Ketua Menteri.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fauzi berkata, apa yang menarik perhatian ialah bagaimana Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar melaksanakan budi bicara beliau yang dipandu oleh peruntukan Perlembagaan Sabah dalam pemilihan Ketua Menteri.

Jelas beliau, tidak seperti peruntukan Perlembagaan Negeri lain yang memberi kuasa prerogatif yang begitu luas kepada Sultan atau Yang Dipertua Negeri yang pada hemat ketua negeri seorang ADUN yang mungkin memperoleh majoriti kepercayaan ahli dewan.

“Sabah telah meminda Perlembagaan yang mengenakan syarat Ketua Menteri itu perlu seorang ketua parti politik yang mendapat kepercayaan majoriti atau ketua gabungan yang perlu mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×