Bermula episod baharu 273.8, 33.57 juta nyawa

Bermula episod baharu 273.8, 33.57 juta nyawa

Joko Widodo memandu kenderaan khas membawa Anwar Ibrahim ketika Perdana Menteri berkunjung ke Istana Presiden di Bogor, Indonesia, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SECARA faktanya, pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018, rakyat Malaysia menyaksikan tiga kali pertukaran Perdana Menteri.

Bermula dengan pelantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad, kemudiannya disusuli apa yang dikatakan Langkah Sheraton dan Tan Sri Muhyiddin Yassin pula diangkat menggantikan negarawan terbabit.

Jangka hayatnya tidak lama dan diganti pula dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Dan, pertukaran demi pertukaran itu menyaksikan tiga kali juga Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) ‘menerima menghadap’ Perdana Menteri dari Malaysia.

Kini, pasca PRU15, dengan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, ‘tradisi’ lawatan rasmi ke Jakarta diteruskan. Ini merupakan Perdana Menteri Malaysia keempat yang ditemui sepanjang ‘karier’ Jokowi sebagai Presiden Indonesia.

Kehadiran Anwar dianggap ‘luar biasa’ apabila membawa sekali Surat Minat (LOI) syarikat-syarikat Malaysia untuk melabur dalam projek mega Jokowi iaitu memindahkan ibu kota, dari Jakarta ke Kalimantan, Ibu Kota Nusantara (IKN).

Misi ini memperlihat Nusantara betul-betul mendapat adunan semangat nusantara serumpun adik-beradik yang sekian lama dimomokkan dengan pelbagai persepsi, yang kadangkala mencetuskan ‘ganyang’, baik dalam isu-isu berkaitan politik mahupun sepakbola (bola sepak) Harimau Malaya dan Garuda.

Baik Malaysia mahupun Indonesia, perkataan ‘ganyang’, era ini, sudah tidak lagi relevan. Seharusnya dibuang terus ke Kali Item di Jakarta Pusat.

Indonesia yang didiami 273.8 juta nyawa manakala 33.57 juta nyawa rakyat Malaysia perlu memandang era baharu, era reformasi Anwar dan Bapak Jokowi.

Ya benar, dalam apa jua perhubungan, konflik pasti wujud. Namun, usahlah diperhebat konflik itu dengan sesuatu ancaman yang tidak mendatangkan apa jua faedah.

Insiden membaling objek ke bangunan Kedutaan Malaysia dalam himpunan protes (suatu ketika dahulu) kepada insiden naik barracuda oleh Harimau Malaya juga sudah tidak relevan dalam menyampaikan ‘unjuk rasa’ (demonstrasi) rakyat.

Namun, jika dilihat era pentadbiran Jokowi, rakyat Indonesia itu semakin matang menjalani apa jua situasi. Cuma ada beberapa ‘bocah’ (anak kecil) yang masih nakal di media sosial.

Era kini adalah era memajukan anak bangsa. Bukan lagi bercakap soal remeh-temeh, siapa yang memiliki rendang paling sedap, batik milik siapa dan pelbagai lagi isu klaim (tuntutan pengakuan) lain.

Pasti lebih hebat dan ‘luar biasa’ jika negara serumpun ini saling bekerjasama dalam apa jua bidang. Dan kini, Kuala Lumpur-Jakarta atau nantinya ditukar pula Kuala Lumpur-Nusantara memasuki episod baharu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×