KUALA LUMPUR: Pelakon, Benjy yang kini sedang menjalani hukuman di Penjara Tanjung Gusta, Medan, Indonesia berharap agar semua peminat terus mendoakan agar dia terus kuat menghadapi ujian itu.
Difahamkan, Benjy yang merupakan anak seniwati, Allahyarham Azean Irdawati kini menghadapi penyakit asma kritikal namun dia masih berada dalam keadaan baik setelah hampir empat tahun menjalani hukuman.
Setiausaha Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Mohd. Hafiz Mohd. Nafiah berkata, kali terakhir dia bertemu pelakon itu ketika lawatannya sekitar 2019 dan Benjy berada dalam keadaan baik.
Jelas Hafiz, Benjy yang ketika ini menghidap penyakit asma kritikal memerlukan dana perubatan yang tinggi namun, kekangan wang menjadi kerisauannya kerana tidak mampu membayar perubatan.
“Dia akan terus dipenjara untuk lapan tahun lagi (mengikut hukuman yang ditetapkan mahkamah) di Penjara Tanjung Gusta, Medan, Indonesia. Kali terakhir saya melawat adalah pada 2019 dan kami tidak dapat melawat lagi kerana pandemik ini.
“Kerap kali juga dia ulang dia telah dianiaya dan memohon semua mendoakan agar dia kuat untuk menghadapi ujian-ujian ini. Sistem penjara di sana berbeza dengan Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Pada April 2017, pelakon itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu, Deli Serdang, Sumatera Utara oleh pihak kastam republik itu sejurus selepas tiba dari Kuala Lumpur.
Pelakon Kerana Cintaku Saerah itu disyaki memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 4.5 gram yang disembunyikan pada bahagian duburnya.
Pada 18 Oktober 2017, Benjy dijatuhkan hukuman penjara selama 11 tahun tiga bulan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Daerah Medan, Indonesia.
Dalam pada itu, Mohd. Hafiz berkata, setakat ini, Benjy tidak merancang untuk membuat rayuan sementelah dia tidak berkemampuan dan tidak mampu membalas apa-apa sekiranya ada pihak yang mahu membantu.
“Dia menolak untuk merayu dan menerima bantuan guaman kerana tidak mampu membayar. Malah, dia juga tidak ada apa-apa untuk membalas jasa baik orang yang membantu,” katanya. – UTUSAN










