Isu halal: Jakim perlu agresif, bukan defensif

Isu halal: Jakim perlu agresif, bukan defensif

PASARAN halal dijangka melonjak. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAKLUM balas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung pendedahan laporan Utusan Malaysia dengan meminta pihak makmal ujikaji makanan swasta tampil memberikan laporan penuh berhubung dakwaan produk halal ada unsur babi, menimbulkan tanda tanya.

Sedangkan, jika dibaca keseluruhan laporan itu jelas menyatakan makmal terbabit sudah pun mengemukakan aduan kepada jabatan berkenaan sejak tahun 2016 mengikut saluran betul.

Justeru, sebagai badan pensijilan halal disegani dunia, Jakim sepatutnya mempunyai rekod setiap aduan berkaitan keraguan halal daripada mana-mana pihak, apatah lagi aduan berkenaan datangnya dari industri sendiri yang diiktiraf dan mendapat pensijilan ISO.

Isu halal haram amat sensitif dalam kalangan umat Islam, lebih-lebih lagi jika ada unsur babi dalam produk makanan. Ia bukan sahaja melibatkan isu agama, malah berkait isu kesihatan jika ada pengguna yang alergik pengambilannya.

Pengurusan halal boleh ditambah baik dengan mengubah polisi sedia ada. Jakim tidak boleh lagi bergantung hanya kepada satu jabatan berautoriti dalam membuat semakan halal atau setidak-tidaknya mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak makmal swasta yang berusaha menjaga kepentingan ummah berkaitan hal halal dan haram tersebut sekiranya terdapat perbezaan hasil keputusan makmal.

Melantik makmal swasta sebagai panel makmal Jakim boleh membantu meningkatkan kompetensi, kecekapan dan mengurangkan kesilapan manusia dalam mengendalikan ujian produk agar keputusan dapat ditentukan lebih tepat yang mana ia amat penting demi menjaga integriti pensijilan halal itu sendiri.

Mungkin kaedah pemantauan pasca pensijilan melalui analisis halal secara berkala sekurang-kurangnya sekali setahun harus mula difikirkan oleh pihak Jakim demi menjamin keabsahan produk di pasaran yang sudah disahkan halal.

Malah pihak pengeluar produk seharusnya membuktikan analisis halal sudah dilakukan semasa audit pemantauan yang biasanya dilakukan setiap dua tahun sekali oleh pihak Jakim.

Oleh itu, sudah tiba masanya Jakim lebih agresif dalam mengendalikan isu halal yang dibangkitkan. Rombak sistem sedia ada yang dilihat ada kelemahan termasuk menambah baik pelaksanaan audit badan halal luar negara yang diiktiraf Jakim agar tidak timbul keraguan.

Menyentuh isu daging import sebagaimana yang didedahkan sebelum ini, sehingga kini kita masih menunggu apa status laporan audit Jakim selepas pihaknya menghantar pasukan melakukan pengesahan audit badan halal luar negara dan loji-loji penyembelihan yang berkaitan dalam membekalkan bekalan daging ke pasaran Malaysia.

Ia selepas isu yang pernah dibangkitkan Utusan Malaysia lebih lapan bulan lalu mengenai sebuah loji sembelihan di Australia disahkan melanggar protokol halal dalam proses penyembelihannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×