REMBAU: Dua pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau yang maut dalam kemalangan di Kilometer 2, Jalan Kundur-Pilin, di sini, awal pagi semalam amat disenangi oleh rakan dan pensyarah masing-masing.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, mangsa, Muhammad Adib Roszaidi, 21, beralamat di Karak, Pahang dan Muhammad Aiman Roslee, 21, beralamat di Ipoh, Perak, disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.
Menurut rakan baik kedua-duanya, Muhammad Darwisy Nor Farain, 22, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang selepas makan malam di sebuah kedai di Taman Pinggiran Pedas di sini.

“Kami kenal kerana sama-sama merupakan ahli Kelab Jawatankuasa Sukan Pelajar. Muhammad Aiman suka bermain badminton dan baru-baru ini telah memenangi johan pertandingan badminton antara kolej kediaman di UiTM Rembau.

“Allahyarham juga baru sahaja pulang dari mengerjakan umrah. Muhammad Adib pula memang peramah dan ceria dalam jawatankuasa tersebut, jika tiada mereka berdua ini, memang kurang cerialah kami,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik, Hospital Rembau, di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, kemalangan membabitkan dua buah motosikal iaitu motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang oleh Muhammad Adib dan motosikal jenis Honda yang ditunggang oleh Muhammad Aiman bersama seorang lagi pembonceng.
“Siasatan awal mendapati, Muhammad Adib menunggang motosikal dari arah Kundur menghala ke Pilin. Sampai di tempat kejadian, mangsa hilang kawalan dan terbabas serta melanggar tiang Telekom Malaysia (TM) dan menyebabkan tiang tersebut patah lalu jatuh melintang di atas laluan.
“Kemudian datang motosikal yang ditunggangi Muhammad Aiman bersama pembonceng dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu hilang kawalan dan terbabas di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Ujar Hazri lagi, akibat daripada kemalangan itu, kedua-dua penunggang motosikal yang mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dalaman disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat kedua-duanya dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Darwisy memberitahu,, ketika kejadian, dia menunggang motosikal di hadapan dan selepas melalui satu selekoh, dia terdengar bunyi tiang jatuh begitu kuat.
Menurutnya, dia kemudian berpatah balik dan terkejut apabila melihat Muhammad Aiman sudah terbaring kaku serta berdarah manakala Muhammad Adib sudah tercampak masuk ke dalam gaung.
“Seorang lagi rakan kami yang merupakan pembonceng motosikal Muhammad Aiman iaitu Muhammad Faiz Ilham Abdul Jalal, 21, cedera parah dan kini berada di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban bagi rawatan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, Penolong Rektor UiTM Kampus Rembau, Prof. Madya Dr. Muhammad Hakimi berkata, pihaknya kehilangan dua pelajar tahun akhir yang bakal menduduki ujian kurang sebulan sahaja lagi.
Menurutnya, kedua-duanya yang merupakan pelajar Diploma Komunikasi Massa sememangnya disenangi ramai dan atas persetujuan kedua-dua keluarga, jenazah disolatkan di UiTM Rembau sebelum di bawa pulang ke kampung halaman masing-masing.
“Kami akan membantu memudahkan urusan keluarga serta menghulurkan bantuan buat mereka,” katanya lagi. – UTUSAN










