Toyota Veloz – Terhasil dari MPV kembar tiga?

Toyota Veloz – Terhasil dari MPV kembar tiga?

MPV bukan lagi kenderaan membosankan. - UTUSAN/ANUAR NORICK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENDERAAN pelbagai guna atau Multi Purpose Vehicle (MPV), sudah menjadi pilihan rakyat Malaysia terutama mereka yang sudah berkeluarga. Kewujudan Perodua Rusa satu ketika dahulu lebih dianggap sebagai “Van Penumpang” yang semakin berevolusi sehingga menampakkan ciri-ciri kereta-kereta sedan telah diguna pakai dalam rekaan kosmetik MPV yang terlahir selepas itu.

Diperkenalkan di penghujung 2022, Toyota Veloz diperkatakan menggantikan variasi Avanza yang sudah berada di pasaran lebih kurang 20 tahun. Memandangkan keperluan pa­sa­ran sekarang yang mengin­ginkan gaya berdiri sama ting­gi dengan prestasi, Veloz mempamerkan ciri-ciri rekaan yang lebih agresif, lebih tampak berprestasi dan elegan. Tambahan pula, sekiranya diter­jemahkan perkataan VELOZ ter­sebut dari bahasa Spanyol, ia bermaksud PANTAS.

Memuatkan artikel berkaitan…

Walau bagaimanapun, tidak dapat tidak, fakta kehadiran Veloz ini ketika rakyat Malaysia masih lagi sedang berangan-an­gan dengan kehadiran Perodua Alza baharu, ternyata sedikit mengelirukan. Kebanyakan da­ri­­pada kita hanya mengetahui, Toyota Veloz ini dijual sekitar RM95,000 (sebelum kos insu­rans, cukai jalan dan pendaftaran), lebih mahal daripada Perodua Alza.

Sekiranya anda pening de­ngan situasi ini, ayuh saya tambahkan pening anda lagi. Di Indonesia, sekitar penghujung 2021, Daihatsu Xenia telah diperkenalkan dan juga mempunyai rupa bentuk yang hampir serupa dengan Veloz dan Alza. Mengapakah kejadian ini berlaku?

Sebenarnya, ketiga-tiga (empat sebenarnya) model ini, telah berkongsi platform teknologi Daihatsu New Global Architecture (DNGA), yang menghasilkan Veloz, Alza, Xenia dan Avanza (untuk pasaran Indonesia). Maka secara kasarnya, keempat-empat kenderaan ini adalah sebenarnya diasaskan daripada platform yang sama.
Maka dengan itu, adakah lebihan RM20,000 (sekiranya dibanding dengan harga jualan Perodua Alza) ini berbaloi untuk dibelanjakan oleh peminat tegar Toyota? Ayuh kita kupas ken­deraan ini.

RUANG luas, selesa dan menyeronokkan untuk dipandu.

PENAMPILAN

Untuk lebih mudah, saya hanya memperincikan rekaan kosmetik yang lain daripada Perodua Alza sahaja. Pertama sekali iaitu skim warna dua tonanya. Unik hanya untuk pasaran Malaysia, bumbung Veloz ini diwarnakan warna hitam sementara bahagian badannya berwarna biru yang agak lembut dan tenang. Namun begitu, saya tidak begitu meminati kemasan dua tona warna ini pada tulang bumbung di depan. Sepatutnya pertembungan warna tersebut boleh dipisahkan dengan dua segmen yang berasingan, tetapi ia dibuat pada sisi tepi kende­raan yang berhampiran dengan tulang bumbung atau bingkai cermin hadapan.

Bahagian Grill hadapan Ve­loz ternyata jauh lebih cantik dengan bukaan yang besar serta diwarnakan hitam bagi memberikan ciri-ciri sport dan anggun. Lampu hadapan Veloz juga lebih ‘sepet’ menyerlahkan kelainan MPV ini. Tidak cukup dengan itu, penggunaan roda 17 inci ternyata melengkapkan visual kosmetik yang sungguh ‘menggiurkan’ dan mampu menarik perhatian sesiapa sahaja ketika sedang parkir.

Veloz ini dikhabarkan lebih ‘rendah’ jarak ketinggiannya berbanding Veloz di negara ASEAN yang lain. Walaupun tidak terlalu rendah atau lowered seperti kebanyakan kereta sport, pakej dua tona warna, grill besar, roda besar serta lampu LED yang bukan sahaja di hadapan, malah satu jaluran LED merah dipadankan di keseluruhan bahagian belakang Veloz ini yang sungguh terserlah terutama pemanduan pada waktu malam. Seolah-olah Veloz ini turut meminjam sedikit konsep pengubahsuaian BALLERS yang menyaksikan perhiasan kosmetik yang ekstrim. MPV kini tidak lagi membosankan.

SISTEM informasi dan hiburan bersaiz sebuah i-pad.

PEMANDUAN

Sekiranya anda pernah berada dalam kabin Perodua Alza yang baharu itu, keberadaan anda dalam kabin Toyota Veloz ini pula pasti membuat anda terdetik dalam hati bahawa anda sedang berada dalam Alza versi eksekutif.
Veloz menggunakan kemasan kulit berwarna kelabu/beige/ krim, bila disentuh seperti ada padding dan lembut, disertakan dengan jahitan benang kasar pada kemasan tersebut yang menghiasi separuh bahagian bawah papan pemuka tersebut.

Veloz menggunakan kemasan kulit berwarna kelabu / beige / krim, bila disentuh seperti ada padding dan lembut, disertakan dengan jahitan benang kasar pada kemasan tersebut yang menghiasi separuh bahagian bawah papan pemuka tersebut.

Walau mempunyai kapasiti enjin 1.5cc seperti kebanyakan enjin-enjin kereta sedan Toyota yang lain, namun pengenalan sistem Auto Stop-Start ini menjadikan ia sedikit unik. Enjin seperti telah terhenti ketika anda berada di simpang berlampu isyarat atau ketika berhenti sebelum keluar simpang, dan apabila melepaskan brek, anda dapat rasakan seolah-olah enjin dihidupkan semula secara automatik.

Ini jelas menumpukan kepada penjimatan bahan api terutamanya ketika terperangkap dalam kesesakan jalan raya yang menyebabkan anda tidak bergerak seketika tanpa penerusan penggunaan bahan api yang terbazir.

Sistem pengendalian Toyota Veloz ini juga diperlihatkan telah dilengkapi dengan sistem 360-T yang mana sensor-sensor yang sentiasa memberikan peringatan dan bantuan elektronik sama ada dari segi peringatan jarak kenderaan hadapan yang terlalu dekat, amaran tersasar daripada lorong dan bantuan pengendalian mengembalikan ke lorong tersebut pada stering, amaran kondisi pergerakan kenderaan hadapan, amaran penggunaan pendikit, jarak antara kenderaan ketika dalam pemanduan, pelarasan silauan suluhan lampu terhadap kenderaan yang bertentangan arah, amaran titik buta (blind spot) serta amaran kenderaan bergerak di bahagian belakang kenderaan, serta tidak ketinggalan kamera keliling kenderaan untuk membantu ketika sedang mengundur atau parkir.

Jika ingin diperbincangkan tentang prestasi enjinnya pula, penggunaan pemanduan secara ekonomi atau gear automatik biasa, ternyata akan menyebabkan anda perasan akan bunyi enjin yang mengaum ketika memulakan perjalanan daripada keadaan statik dan kenderaan terasa sedikit berat. Saya tidak terperanjat dengan perkara ini kerana hanya enjin 1.5cc sahaja yang dibekalkan untuk menggerakkan kenderaan yang agak besar dan berkapasiti maksimum seramai 7 orang. Hanya dengan menggerakkan tuas gear ke kanan pada kedudukan D, anda akan rasakan seolah-olah ia menggunakan enjin yang lain apabila prestasi SPORT mula mengambil alih. Ternyata pecutannya lebih efisien dan lebih menarik. Sekiranya peningkatan prestasi ini masih tidak mencukupi lagi, anda boleh menukar ke versi CVT 7 peringkat kelajuan untuk membolehkan anda merasai pemanduan ala-ala kenderaan bergear manual.

Kerusi Veloz ini dilengkapi dengan balutan separuh kulit dan fabrik, berwarna hitam dan bercorak ‘tersembunyi’ pada bahagian kusyen duduk yang agak empuk dan jarak antara barisan kerusi adalah sangat selesa di antara ketiga-tiga barisan kerusi.

Seperti kebanyakan MPV, sekiranya anda mahu menggunakan kesemua kerusi untuk penumpang, ruang penyimpan barangan di belakang menjadi kecil dan terhad. Namun sekiranya dibaringkan kerusi pada barisan ketiga tersebut, ternyata ruang bagasi yang begitu luas telah tersedia.

RUANG duduk maksimum tujuh orang.

KESIMPULAN

Setelah mengujinya selama beberapa hari, persoalan yang timbul adakah ia berbaloi dengan tambahan harga RM20,000 daripada Perodua Alza, atau adakah cukup kita beli Alza dan tambah aksesori untuk kelihatan seperti Veloz?

Saya hanya akan jawab, adakah anda mahu membeli kasut BATA dan kemudian menggantikan bahagian-bahagian kasut tersebut untuk kelihatan seperti NIKE? Jawapannya ada pada anda! – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini