LAPORAN akhbar tentang negara bakal kehilangan lebih sejuta tenaga pakar menjelang 2030 perlu dilihat dari segi kebaikannya juga. Walaupun ada kesannya kepada pembangunan negara dalam pelaburan besar untuk pendidikan, namun kita juga boleh berbangga dengan pengiktirafan kepada bakat yang ada di negara ini yang diterima di pentas dunia.
Tindakan mereka mencari rezeki di luar negara walaupun kelihatan merugikan negara, sukar dibendung dalam jangka panjang apatah lagi dengan laporan cabaran ekonomi akan dihadapi yang memberi kesan kepada pasaran kerja tempatan.
Walaupun usaha perlu diambil untuk menanganinya dalam sektor kritikal seperti perubatan dan industri, namun tidak banyak pilihan yang ada, kecuali kita berupaya membawa masuk pelabur-pelabur besar bagi menjalankan perniagaan di dalam negara dengan penawaran imbuhan lebih tinggi kepada mereka
Hal ini juga bergantung kepada kuasa beli, perkembangan ekonomi dan perkhidmatan kepakaran yang ada di dalam negara yang dapat meningkatkan ganjaran kepada tenaga pakar diperlukan dalam sektor-sektor berkaitan.
Kerajaan perlu mengenal pasti sektor kritikal serta bilangan munasabah dan mencari jalan membendung penghijrahan mereka demi kepentingan komuniti dan negara dalam bidang-bidang berkaitan. Kemungkinan yang diperlukan ialah suasana kerja lebih menarik dan ganjaran lebih sesuai dengan kepakaran yang perlu untuk mengekalkan bakat yang ada.
Dilihat dari sisi positifnya juga, penghijrahan ini menunjukkan pemikiran rakyat kita telah berubah daripada hanya menjadi jaguh kampung kepada jaguh dunia. Kepakaran dan bakat yang ada dalam kalangan rakyat negara ini diterima oleh pasaran dunia yang terbuka dan terbentang luas.
Ini juga kejayaan negara dalam menghasilkan bakat-bakat besar dalam kalangan anak tempatan untuk berkhidmat di pasaran dunia. Hal ini bukan lagi perkara baharu kerana ramai tenaga pakar kita kini berada di banyak institusi tersohor dunia termasuk di negara-negara maju baik benua Eropah mahupun Asia Barat.
Ini juga menjadi motivasi kepada anak-anak muda yang berada di universiti untuk tidak lagi berharap dan bergantung kepada majikan di dalam negara, tetapi juga di mana sahaja negara yang memerlukannya di dunia.
Apatah lagi dengan kadar kebolehpasaran graduan universiti di negara ini selepas tamat pengajian secara puratanya 85.5 peratus dan sesetengah universiti seperti Universiti Sains Malaysia (USM) sudah menjangkau lebih 90 peratus.
Terdapat ramai siswazah yang ditemu duga untuk hadiah Pingat Emas pelajar cemerlang saban tahun di USM telah bekerja di luar negara terutama dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan. Sekali gus, ini juga meningkatkan kebolehpasaran siswazah kita di pentas dunia.
B40
Cabaran kepada universiti ialah untuk menyediakan siswazah yang dapat memenuhi keperluan ini dengan ilmu, kemahiran dan kesediaan beradaptasi dengan budaya dunia dan global terutama apabila melihat sebahagian besar mahasiswa kita adalah daripada golongan pendapatan keluarga terkebawah atau B40.
Universiti juga perlu terus menjejaki alumninya yang berjaya di pentas dunia untuk tujuan kolaborasi dan berkongsi pengalaman bagi memberi jiwa antarabangsa kepada mahasiswa sedia ada. Melalui ekonomi gig, mereka boleh memberikan perkhidmatan silang kepada universiti mahupun institusi lain yang memerlukan kepakaran mereka.
Kita sedia mengetahui peluang yang ada di dalam negara amat terhad. Ramai dalam kalangan rakyat Malaysia terutama generasi muda yang mempunyai kelulusan pengajian hingga ke ijazah doktor falsafah dan doktor pakar. Pilihan yang ada adalah memilih kerjaya di luar negara untuk mencari pengalaman dan rezeki sepertimana banyak berlaku di negara-negara dunia lain.
Ramai pensyarah dan siswazah universiti terutama yang telah bersara menyambung khidmat mereka di universiti-universiti terkemuka luar negara. Mereka menjadi tenaga pengajar dan penyelidik di universiti-universiti terkemuka dunia dengan ganjaran yang besar dan lumayan.
Namun, mereka berbuat demikian bukan sahaja kerana tawaran menarik dari segi imbuhan tetapi juga kemudahan untuk menjalankan tugas termasuk makmal dan prasarana ditawarkan di institusi berkenaan
Sesetengah anak muda pula mencabar diri untuk melakukan kerjaya yang berbeza daripada kelaziman, mencari kelainan dan berusaha berada dalam kelompok budaya berbeza.
Dalam jangka panjang, mereka akan kembali ke dalam negara tanah tumpah darahnya dan berkongsi pengalaman dilalui dengan syarat terdapat faktor yang berupaya menarik mereka berbuat demikian. Misalnya, kemudahan dan peraturan yang fleksibel untuk membolehkan mereka kembali ke tanah air.
Usaha-usaha yang jelas perlu dibuat oleh pembuat dasar untuk memberi peluang dan dorongan kepada tenaga pakar dan berpengetahuan tinggi ini nantinya kembali berkongsi pengalaman dan ilmu mereka dalam pembangunan negara sama ada dalam industri, universiti mahupun sektor lainnya. – UTUSAN
PENULIS ialah Ketua Timbalan Pendaftar Kanan, Universiti Sains Malaysia (USM).











