Presiden UMNO: Undi lebih mantap jika satu lawan satu

Presiden UMNO: Undi lebih mantap jika satu lawan satu

PERTANDINGAN satu lawan satu memberi banyak kelebihan kepada calon yang mahu mencuba nasib merebut jawatan tertinggi dalam UMNO.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertandingan satu lawan satu merebut kerusi Presiden UMNO dilihat kaedah paling berkesan untuk memenangi jawatan tersebut sekali gus dapat menampilkan calon paling berkarisma mengisinya.

Penganalisis politik berpendapat, pertandingan satu lawan satu memberi banyak kelebihan kepada calon yang mahu mencuba nasib merebut jawatan tertinggi dalam UMNO itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, pertandingan satu lawan satu membolehkan undi secara berpusat dan tidak berpecah-pecah.

Malah menurut beliau, maklumat diterima pihaknya dalam kalangan akar umbi UMNO menyatakan bahawa mereka lebih selesa jika pertandingan merebut kerusi Presiden dalam bentuk blok.

“Lebih sesuai satu lawan satu berbanding banyak penjuru. Sebab undi jadi lebih mantap dan tidak berpecah-pecah. Maklumat yang kita dapat, ramai orang UMNO mahu kalau boleh, lawan jawatan Presiden dalam bentuk blok. Sebab kalau terpecah-pecah, itu tak bagus untuk mendapatkan undi yang solid (mantap),” katanya.

Semalam, akhbar ini melaporkan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Khairy Jamaluddin antara dua nama yang dijangka berani mencabar Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi jika jawatan Presiden UMNO dibuka untuk dipertandingkan pada pemilihan parti tahun ini.

Ramalan itu berikutan kenya­taan-kenyataan Ahli Parlimen Sembrong dan bekas Ahli Parlimen Parlimen Rembau itu yang mahu membuat perubahan selepas prestasi parti yang buruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sementara itu penganalisis politik Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Azmi Hassan berkata, semakin ramai pencabar Presiden dalam pertandingan, itu memberi kelebihan kepada penyandang.

“Banyak cabaran akan memecahkan undi. Justeru, sebaik-baiknya pertandingan bagi jawatan Presiden UMNO itu dibuat satu lawan satu sahaja. Ini supaya undi tidak berpecah-belah seperti berlaku dalam pemilihan terdahulu pada 2018,” katanya.

Seorang lagi penganalis politik, Dr. Ainul Adzellie Hasnul berkata, pertandingan satu lawan satu merebut jawatan Presiden UMNO membolehkan calon paling berkarisma ditampilkan dan dipilih. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×