Hishammuddin, KJ ‘beranikah’ cabar Zahid?

Hishammuddin, KJ ‘beranikah’ cabar Zahid?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Khairy Jamaluddin antara dua nama yang dijangka berani mencabar Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi jika jawatan Presiden UMNO dibuka untuk dipertandingkan pada pemilihan parti tahun ini.

Ramalan itu berikutan kenya­taan-kenyataan Ahli Parlimen Sembrong dan bekas Ahli Parlimen Parlimen Rembau itu yang mahu membuat perubahan selepas prestasi parti yang buruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Hishammuddin sebelum ini menyatakan keazamannya menggunakan masa yang ada untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap UMNO.

Kata Hishammuddin, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak boleh salah langkah lagi selepas ditimpa kekalahan terburuk pada PRU15.

Khairy pula secara jelas menyebut beliau ingin bertanding jawatan Presiden UMNO dan menjadi Perdana Menteri ketika berkempen di Parlimen Sungai Buloh pada PRU15.

Bagaimanapun, mungkin ha­nya seorang daripada mereka bakal bertanding merebut jawatan Presiden UMNO jika ada kerjasama untuk memastikan undi perwakilan tidak berpecah.

Setakat ini, tiada pengesahan mengenai perkara itu daripada Hishammuddin maupun Khairy.
Penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan berkata, pertandingan merebut dua jawatan tertinggi UMNO dapat menghilangkan keraguan ahlinya selain meraikan demokrasi dalam perlembagaan parti itu.

“Bukan sahaja untuk kebaikan demokrasi, pertandingan juga harus dibuka bagi ke­dua-dua jawatan utama dalam UMNO itu untuk menghilangkan keraguan kehendak ahli UMNO sendiri.

“Ada yang berpendapat te­ruknya UMNO pada PRU15 kerana Presidennya. Jadi bagi menghilangkan desas-desus ini, khabar angin ini supaya perwakilan ahli UMNO membuat keputusan sama ada mereka nak mengekalkan ataupun menukar dengan pe­mimpin baharu.

“Ada yang mengatakan, Presiden dah tewas pada PRU15, jadi seharusnya pertandingan itu dibuka. Tapi kalau kita lihat pada ketika ini belum ada pencabar yang berani keluar,” katanya semalam.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×