“PENGARAH kita tiada yang boleh merentas sempadan atau berjaya di luar negara. Kalau pun ada, tidak memberi impak.”
Itu pandangan Presiden, Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) Dr. Ahmad Ibrahim yang berpendapat, industri perfileman masih ketandusan pengarah berkaliber.
Susulan itu, Ahmad atau lebih dikenali sebagai Mat London, merancang untuk menggerakkan usaha merekrut 10 pengarah terbaik menerusi satu program yang akan dilaksanakan, tahun ini.
“FDAM akan bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), menjelajah beberapa lokasi di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak untuk mencari pengarah terbaik berusia antara 18 hingga 35 tahun.
“Mereka yang kami cari perlu mempunyai latar pendidikan seni pengarahan filem dan berpengalaman dalam menghasilkan sekurang-kurangnya beberapa filem pendek.
“Mereka juga perlu mempunyai kreativiti, minda yang cergas serta bertenaga” katanya pada Majlis Sembang Santai FDAM Bersama Media, baru-baru ini.
Kata Mat London lagi, pengarah yang baik dan berbakat perlu dibangunkan agar kebolehan mereka tidak disia-siakan.
Katanya itulah matlamat rancangan tersebut, membantu mereka yang berbakat dan berkeinginan tinggi untuk menghasilkan karya yang boleh dibawa ke luar negara.
“Kesemua 10 pengarah itu akan dibimbing menerusi sesi latihan dan kursus yang disediakan.
“Mereka juga akan dibantu dari segi peralatan, selain menerima peruntukan untuk merealisasikan impian,” ujarnya.
Kata pengarah tersohor itu lagi, sebagai seorang yang berpengalaman, dia bercita-cita membangunkan bakat seni pengarahan yang selayaknya diberi peluang untuk menyinar.
“Sangat merugikan kalau kita tidak bangunkan dan bantu pengarah yang baik. Disebabkan itu, kami bersungguh-sungguh membantu mereka dari segi material dan dana agar dapat menghasilkan karya bermutu yang boleh dibawa ke luar negara, meskipun kos pembikinan yang diperuntukkan rendah,” jelasnya.
Apresiasi filem
Festival Filem Malaysia ke 32 (FFM32) yang dilaksanakan Disember lalu menerima reaksi berbeza daripada pelbagai pihak.
Bagi Mat London, terdapat beberapa kelemahan dalam penganjuran tersebut yang perlu diambil perhatian dan diperbaiki pada masa akan datang.
Justeru, beliau terpanggil untuk melaksanakan program Apresiasi Filem yang antara lain mengupas dan membincangkan tentang masalah berbangkit ketika penganjuran FFM32.
“Pada pandangan saya, FFM32 agak sepi, seolah-olah tidak wujud sedangkan ia menelan belanja besar dan dilaksanakan di Encore Melaka yang gah.
“Justeru, FDAM merancang untuk menggerakkan road tour ke beberapa negeri seluruh negara untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tentang filem yang menang anugerah pada acara tersebut,” katanya.
Kata beliau lagi, program jelajah itu juga akan menjadi platform untuk membincangkan dan mengupas tentang filem yang merangkul anugerah pada festival tersebut, termasuk Spilt Gravy yang diangkat sebagai Filem Terbaik.
“Kita bukan mempertikai atau menafikan kemenangan Spilt Gravy, sebaliknya mahu membincangkan berkaitan proses penilaian sehingga melayakkan filem itu menang.
“Kami akan jemput golongan cerdik pandai untuk membincangkan dan menganalisis perkara itu.
“Kita mahu masyarakat tahu apa kelebihan yang membuatkan Spilt Gravy menang Filem Terbaik,” katanya.











