PETALING JAYA: Cukai barang dan perkhidmatan (GST) tidak sesuai dilaksanakan tahun ini disebabkan rakyat masih lagi terkesan dan bergelut dengan kenaikan kos sara hidup serta kadar faedah yang tinggi.
Ketua Ahli Ekonomi Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB), Suhaimi Ilias berkata, pihaknya menjangkakan kerajaan tidak akan memperkenalkan semula GST dalam Bajet 2023 yang akan dibentang pada Februari ini.
“Tiada jangkaan GST akan diperkenal dalam Bajet 2023. Mungkin selepas 2023 sekiranya ada kerana kurang sesuai untuk dilaksanakan tahun ini.
“GST tidak tidak sesuai dilaksanakan semula tahun ini kerana kita tahu rakyat secara terang-terangan terkesan dengan situasi sama ada bergelut untuk menyelaraskan semula kos sara hidup yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas jangkaan pelaksanaan semula GST dalam Bajet 2023 semasa taklimat media mengenai Tinjauan Pasaran 2023 secara dalam talian, semalam.
Menurut Suhaimi, sekiranya kerajaan memerlukan pendapatan lebihan ia bukan melalui pelaksanaan semula GST, sebaliknya terdapat kaedah lain seperti hasil bukan cukai.
“Pada pandangan saya, sekiranya kerajaan memerlukan pendapatan lebihan secara jujurnya ia boleh datang daripada hasil bukan cukai dan secara asasnya melalui dividen Petronas.
“Sejak 2019 secara konsisten setiap tahun kerajaan memperoleh dividen khas daripada Petronas melebihi bajet asal,” katanya.
Mengulas mengenai cukai makmur, Suhaimi berkata. pihaknya tidak pasti sama ada cukai yang tidak diumumkan pada pembentangan Bajet 2023 Oktober lalu itu akan dimasukan atau tidak pada pembentangan semula Bajet 2023 Februari nanti.
“Saya akan terkejut sekiranya cukai makmur diletakkan semula dalam Bajet 2023 dan seperti yang saya katakan mungkin kerajaan lebih pro kepada dividen Petronas tahun ini,” katanya.
Suhaimi berkata, satu lagi fokus utama dalam bajet yang menjadi tumpuan beliau adalah langkah subsidi kerana ia akan mejejaskan inflasi domestik yang diramalkan tiga peratus berbanding 3.3 peratus tahun lalu.
“Bajet 2023 dibentangkan Oktober tahun lalu memberi bayangan rasionalisasi subsidi melalui mekanisme yang disasarkan terhadap sistem menyeluruh melalui peruntukan untuk subsidi dan bantuan sosial tahun ini dengan dicadangkan untuk dipotong hampir 30 peratus.
“Langkah ke arah subsidi disasarkan mungkin sudah mula dengan tarif elektrik yang disemak semula untuk separuh pertama 2023, di mana terdapat kenaikan kepada MNC (syarikat multinasional) dan pengguna voltan sederhana hingga tinggi, tetapi tiada perubahan kepada pengguna voltan domestik dan rendah,” katanya. – UTUSAN









