SHAH ALAM: Bara api boleh ‘hidup’ lebih 24 jam terutama pada barangan mudah terbakar seperti kain lebih-lebih lagi ketika susunannya bertindan sehingga ia sukar dikesan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, itu yang berlaku dalam kebakaran kali kedua yang tercetus di Wisma Jakel di Seksyen 7 di sini pada Isnin lalu.
Bagaimanapun, menurut beliau, setakat ini bomba belum mendapat pertunjuk punca kebakaran yang membabitkan gudang pakaian tiga tingkat dan berkeluasan 1,200 kaki persegi itu terbakar.
“Bomba buat masa ini tidak menemui unsur khianat iaitu membakar premis tersebut. Bomba tidak boleh buat kesimpulan terus tetapi ia perlu bukti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kata beliau, sebagai langkah susulan bagi mengelakkan kebakaran tercetus lagi, bomba mengarahkan stor kain berkenaan dikosongkan.
“Malah, semua barang kita sudah punggah keluar, maksudnya barang-barang yang masih tersimpan dekat tingkat atas itu dikeluarkan. Memang sudah kosong.
“Kita bongkar habis semua sekali, barang-barang yang mudah terbakar kita bawa keluar untuk memudahkan kawalan,” ujarnya.
HANGUS
Terdahulu, bangunan lot kedai lima dan tiga tingkat milik Syarikat Jakel Trading Sdn. Bhd. hangus dalam satu kebakaran pada awal pagi Ahad lalu dan disusuli kebakaran kali kedua Isnin lalu.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel memaklumkan, kerugian yang dikira setakat ini RM100 juta berdasarkan kerosakan bangunan di cawangan kedua termaju Jakel yang mencatat jualan RM300 juta setahun.
Dalam perkembangan sama, Norazam berkata, bomba sudah mengambil beberapa sampel kebakaran dari lokasi kejadian dan dibawa ke makmal siasatan untuk dianalisis.
Menurutnya, proses tersebut akan mengambil masa sekurang-kurangnya 14 hari dan dalam tempoh itu juga bangunan Jakel akan ditutup untuk tidak membenarkan orang lain masuk kecuali pihak berkuasa.
“Keselamatan bangunan kita serah kepada pihak polis. Tetapi, kita sudah meletakkan pita kuning larangan melepas kawasan kebakaran bersama dengan notis yang ditampal untuk tempoh 14 hari.
“Sesiapa pun tak dibenarkan masuk sehingga kita isytihar boleh, maknanya selepas kita ambil semua bukti, sampel. Setakat ini sampel kita sudah ambil, cuma kalau tidak berpuas hati, kita akan masuk balik ke sana untuk ambil sampel lain,” jelasnya.
Beliau menambah, dalam tempoh itu juga Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan membuat sambungan semula bekalan elektrik sekiranya selamat bagi membenarkan premis lain yang tidak terjejas kembali beroperasi.- UTUSAN










