BERCERITA tentang berniaga di tengah-tengah Kuala Lumpur, persepsi umum orang Melayu ialah kedai-kedai di ibu kota itu mahal sewanya. Orang Cina pula dikatakan menguasai perniagaan di Kuala Lumpur.
Kita pun akan membayangkan premis-premis perniagaan dipenuhi oleh peniaga Cina. Adapun peniaga Melayu atau India hanyalah beberapa kerat. Bukan tiada ramai orang Melayu berniaga di tengah-tengah Kuala Lumpur, ada. Kebanyakannya yang bergelar penjaja, berniaga di bawah payung atau khemah kecil.
Cuba jalan-jalan dari Jalan Tuanku Abdul Rahman melalui kawasan Masjid India, terus ke Lebuh Ampang sampai Medan Pasar. Jalan atas sikit ke Jalan Yap Ah Loy dan Jalan Tan Siew Sin sampai ke Bangunan Cahaya Suria di Jalan Silang. Satu laluan yang panjangnya lebih kurang dua kilometer. Boleh dikatakan kawasan yang agak besar.
Kita akan perasan tidak ramai peniaga Cina yang berniaga di sepanjang laluan dan sekitar kawasan berkenaan. Kita juga tidak akan nampak peniaga-peniaga Melayu di premis-premis itu.
Apa yang akan kita jumpa di premis-premis sekitar kawasan itu ialah peniaga-peniaga Pakistan, Nepal, Bangladesh dan Myanmar. Kalau ke arah Jalan Chow Kit, kita akan jumpa pula ramai peniaga Indonesia. Mereka ini semua berniaga pelbagai jenis barang daripada menjual karpet, pasar mini hinggalah restoran dan pelbagai lagi.
Ini bermakna orang Cina tidak menguasai seluruh kawasan perniagaan di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur. Maka, sudah tentulah jika bukan warganegara daripada kaum Cina yang berniaga di kawasan ini, maka orang Melayu kita yang sepatutnya menguasai perniagaan di sini.
Kaum India terutama India Muslim sudah menguasai sekitar Masjid India. Bagaimana pula hampir seluruh kawasan itu dikuasai oleh peniaga warga asing sedangkan orang Melayu masih menjaja di bawah payung atau khemah kecil yang kadang-kadang dihalau pula oleh pegawai penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau berterbangan barang jualan bila hujan ribut melanda?
Kalau kita ada Chinatown dan Little India, sememangnya sesuatu yang diterima akal kerana Cina dan India ialah dua kaum terbesar di negara ini. Tetapi sedarkah kita, di sekitar Jalan Tan Siew Sin dan Jalan Yap Ah Loy sekarang dikenali sebagai Bangla Town.
Jika kita Google tempat hendak dilawat di Kuala Lumpur, Bangla Town ada tersenarai. Bila pula kita ada ramai rakyat Malaysia dari Bangladesh sampai boleh ada pekan mereka sendiri?
LRT/MRT
Ada dua isu di sini. Pertama, ekonomi orang Melayu dan penglibatan mereka dalam sektor perniagaan. Jika warga asing boleh buka perniagaan di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur, sedangkan mereka adalah pendatang, apa kurangnya orang Melayu rakyat Malaysia sendiri?
Pelbagai agensi kerajaan ditubuhkan untuk membantu orang Melayu dan bumiputera dalam perniagaan, bermacam-macam dana disediakan, ratusan juta ringgit diumumkan oleh kerajaan setiap tahun dalam belanjawan negara, tidak kiralah siapa pun menerajui kerajaan.
Namun, kenapa bangsa Melayu masih tidak dapat menguasai perniagaan di kawasan yang amat strategik ini? Salah kerajaan atau salah orang Melayu sendiri? Kawasan ini dilengkapi dengan infrastruktur pengangkutan awam. Ada Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek dan Stesen LRT/Transit Aliran Massa (MRT) Pasar Seni.
Begitu juga Stesen Bas Klang dan Lebuh Ampang, tempat tumpuan hentian bas. Sebuah kawasan yang boleh diakses dari seluruh Kuala Lumpur dengan mudah. Kawasan ini juga tumpuan pelancong kerana di sebelahnya Dataran Merdeka. Masjid Jamek juga salah satu tumpuan kerana sejarah dan seni arkiteknya, malah Pasar Seni juga popular dikunjungi pelancong.
Semua kelebihan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan ini menggunakan wang negara yang sumbernya daripada rakyat. Malangnya, dinikmati dan diraih keuntungan oleh warga asing yang dipercayai melanggar pelbagai undang-undang negara seperti imigresen dan lesen perniagaan.
Isu kedua, penguatkuasaan. Sempat saya berbicara dengan Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman. Beliau berpendapat, penguatkuasaan perlu tegas dalam menangani masalah warga asing berniaga di Kuala Lumpur. Ini melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) terutama bahagian pelesenan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Sepatutnya PBT, pemimpin-pemimpin persatuan penjaja atau peniaga dari kawasan masing-masing duduk semeja berbincang bagi mengatasi isu ini. Jika berada di Medan Pasar pada hujung minggu yang kebetulannya hujung bulan waktu gaji, akan rasa seolah-olah kita berada di Kathmandu.
Medan Pasar dipenuhi warga Nepal yang berkumpul membeli-belah dan makan di restoran-restoran rakan mereka yang agak tersorok. Menjelang petang akan kelihatanlah beberapa warga Nepal mabuk arak dan ada ketika timbul pergaduhan sesama mereka. Samalah jika berjalan ke depan sedikit, suasana bertukar menjadi seperti di Dhaka, Bangladesh.
Seterusnya, bila sampai di Bangunan Cahaya Suria, macam berada di Myanmar. Fakta menarik, Bangunan DBKL terletak kira-kira satu kilometer dari kawasan-kawasan ini.
Begitulah keadaannya di tengah-tengah ibu kota. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan telah meminta DBKL mencantikkan Kuala Lumpur dengan menyediakan infrastruktur lebih selesa dan baik untuk para penjaja.
Jika isu peniaga warga asing tidak diambil serius, prasarana yang cantik dan selesa itu nanti akan menguntungkan peniaga warga asing, bukannya rakyat kita. – UTUSAN
PENULIS ialah pemerhati isu semasa & politik.











