Ahli UMNO sudah matang untuk buat pilihan tepat

Ahli UMNO sudah matang untuk buat pilihan tepat

PERWAKILAN UMNO sudah cukup matang untuk memilih pemimpin yang mampu mengemudi parti berdepan cabaran politik semasa dan pilihan raya umum akan datang. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Tiada ada apa yang perlu dibimbangkan jika dua jawatan tertinggi UMNO dipertandingkan kerana perwakilan sudah matang dan kenal pemimpin mereka yang perlu dipilih untuk mengemudi parti.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Azizan Sulaiman berkata, pemilihan dua jawatan itu bersama jawatan-jawatan utama lain akan memberi peluang kepada perwakilan menentukan kepemimpinan parti selepas menunjukkan prestasi yang merosot dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Bagi saya tiada masalah untuk diadakan pemilihan dan kita serah kepada perwakilan memilih calon bagi memimpin parti selepas ini,” katanya.

Kali terakhir jawatan Presiden UMNO dipertandingkan adalah pada 2018 dengan dimenangi oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menewaskan Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Datuk Seri Mohamad Hasan pula memenangi jawatan Timbalan Presiden setelah menewaskan Tan Sri Annuar Musa.

Azizan yakin ahli UMNO akan membuat penilaian sebaik­nya bagi mengisi dua jawatan utama itu dalam memastikan kebangkitan semula parti itu.

“Perwakilan pastinya akan melihat daripada beberapa sudut sebelum membuat penilaian antaranya dengan mengambil kira kedudukan Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Presiden UMNO,” katanya.

Tambahnya, kekalahan UMNO pada PRU15 adalah satu hikmah dan pemilihan parti bakal memberi nafas baharu buat UMNO.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail yakin pertandingan itu akan memecah-belahkan parti kerana sejak sekian lama, UMNO sudah berdepan pelbagai dugaan melibatkan pimpinan parti iaitu sejak tahun 1951 lagi.

“Untuk ke depan, kepimpinan UMNO perlu dilihat mendapat mandat semua pihak. Kita asyik bercakap tentang pembaharuan dan disebabkan itu, perlu ada pertandingan bagi menampakkan bahawa demokrasi dalam UMNO tidak mati.

“Presiden itu nanti akan membawa UMNO mendepani PRU16 akan datang. Jadi wajarlah beliau dilihat sebagai seseorang yang mendapat mandat semua pihak,’’ katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×