KUALA LUMPUR: Proklamasi darurat yang mampu menghentikan sementara perbalahan dalam kalangan pemain politik negara perlu dimanfaatkan sepenuhnya kerajaan bagi merangka strategi pemulihan ekonomi terbaik.
Presiden Dewan Profesional Bumiputera Malaysia (DPBM), Datuk Dr. Mohd. Radzi Abd. Latif berkata, melalui proklamasi tersebut, iklim politik negara berjaya distabilkan dan kerajaan boleh mengambil kesempatan untuk memperkenalkan langkah-langkah yang perlu untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi.
“Inilah masanya untuk kerajaan laksana dasar-dasar strategik tanpa mengambil kira ia popular atau tidak dari kaca mata perniagaan atau parti politik.
“Umpamanya, kerajaan boleh memperkasa institusi wakaf dan ekonomi bumiputera melalui peruntukan kewangan yang besar walaupun ia dibantah parti politik tertentu.
“Yang penting, motifnya baik iaitu untuk menghapuskan kemiskinan dan pengangguran dalam kalangan bumiputera yang terjejas teruk akibat Covid-19 berbanding kaum lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan komen Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff yang berpandangan kestabilan politik boleh menjadi punca beberapa pelabur asing meninggalkan Malaysia dan memilih negara jiran seperti Indonesia.
Beliau mengulas tindakan syarikat pengeluar kereta Korea Selatan, Hyundai Motor Corporation memindahkan ibu pejabat serantaunya dari Malaysia ke Indonesia.
Mengulas lanjut, Mohd. Radzi turut berharap rakyat dapat memainkan peranan dalam keadaan sukar ketika ini untuk bersatu padu dan saling membantu antara satu sama lain agar usaha pemulihan ekonomi yang dijalankan kerajaan mendapat sokongan.
Beliau menegaskan, rakyat perlu bersikap jujur terhadap bantuan yang diterima dan tidak menggunakannya untuk tujuan yang tersasar daripada matlamat kerajaan.
“Segala insentif yang kerajaan berikan, kita jangan sia-siakan. Misalnya insentif untuk perniagaan, gunakanlah untuk tujuan perniagaan, bukan untuk tujuan lain misalnya membeli televisyen baharu.
“Rakyat yang rasakan mereka tidak layak, janganlah ambil peluang orang lain misalnya dalam kes bantuan bakul makanan untuk keluarga miskin.
“Bagi yang mampu beli makan di luar, berkorbanlah. Tak perlu masak di rumah. Tolong beli makanan secara penghantaran daripada perniagaan kecil-kecilan supaya mereka mendapat hasil jualan yang cukup untuk menampung kehidupan keluarga,” katanya. – UTUSAN










