ARAU: Jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan semua jawatan lain perlu dipertandingkan dalam pemilihan UMNO tahun depan agar parti tersebut tidak dilabelkan sebagai tidak demokratik dan diktator.
Pemilihan tersebut juga sangat penting untuk melihat maklum balas ahli dan akar umbi selepas keadaan UMNO yang merosot apabila tewas teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Pusat Sains Liberal Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, UMNO dilihat tidak mempunyai keadaan khas yang memerlukan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.
Katanya, pemilihan tersebut perlu dilaksanakan dan menjadi platform terbaik untuk Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan hala tuju terkini UMNO selain mengembalikan kepercayaan rakyat kepada parti itu.
Katanya, Ahmad Zahid tidak boleh lari daripada memberi penjelasan selepas UMNO kalah teruk dalam pilihan raya baru-baru ini.
“Kalau tidak dipertandingkan, imej Ahmad Zahid dilihat lebih teruk pada pandangan ahli. Kekalahan lampau harus ditebus dengan pemilihan dan kalau Ahmad Zahid masih menang akan menguatkan kredibilitinya untuk terus menerajui UMNO.
“Ahmad Zahid boleh menggunakan alasan atas kebijaksanaan beliau menjadikan UMNO sebagai king maker dalam pembentukan kerajaan. Tanpa kebijaksanaan beliau sebagai king maker, UMNO mungkin menjadi pembangkang dan lebih teruk,” katanya.
Muhammad Izmer berkata, kerajaan juga berkemungkinan berdepan risiko tumbang sekiranya UMNO mendapat Presiden baharu dalam pemilihan parti itu nanti.
“Sekiranya barisan kepemimpinan UMNO di bawah Presiden baharu membuat keputusan keluar daripada kerajaan dan menyokong Perikatan Nasional (PN), maka kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berisiko tumbang,” katanya. – UTUSAN










