Muzikal Upin & Ipin - Pin Pin Pom! jelajah Indonesia - Utusan Malaysia

Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom! jelajah Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS teater muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom! mencipta kejayaan luar biasa di Singapura, 18 Disember lalu, Les Copaque Production kini dalam perancangan membawa pementasan watak animasi diminati ramai itu ke Indonesia.

Menerima sentuhan penggiat teater tersohor, Siti Rohaya Atan sebagai pengarah, pementasan itu dijangka mengulangi kejayaan seperti yang diraih di Stadium Tertutup Singapura.

Siti Rohaya yang dihubungi Utusan Malaysia berkata, perancangan untuk mementaskan teater tersebut di negara jiran sudah disusun sejak 2019. Bagaimanapun katanya, segala-galanya tertangguh akibat pandemik yang datang menjengah pada permulaan 2020.

“Ketika itu, kami sudah ada tarikh untuk pementasan teater ini di lima lokasi di Indonesia. Bagaimanapun, semua perancangan tergendala kerana Covid-19.

“Melihat keadaan kembali pulih, kami mulakan pementasan di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 22 September lalu, disusuli persembahan di Singapura pada 18 Disember.

“Tahun depan adalah waktu yang sesuai untuk kami bawa teater ini ke Indonesia. Mungkin pada Mac atau selepas sambutan hari raya Aidilfitri. Bergantung kepada persiapan lokasi,” katanya.

Kata Rohaya, teater tersebut akan dipentaskan dalam konsep road tour yang bakal menjengah di beberapa lokasi utama di negara tersebut.

“Kami merancang mementaskannya di Stadium Senayan, Jakarta. Selain itu, kami juga berhasrat membawa teater ini ke beberapa lokasi seperti Bandung, Surabaya dan Bali. Namun, semuanya masih dalam perancangan,” jelasnya.

Siti Rohaya berkata, dia tidak sabar melihat reaksi peminat Indonesia yang sekian lama menunggu untuk menonton pementasan tersebut.

“Sambutan di Singapura memberangsangkan. Stadium penuh, malah ramai berusaha mendapatkan tiket pada saat akhir.

“Saya tidak sabar untuk mementaskan teater ini di Indonesia pula kerana kita tahu jenama Upin dan Ipin juga besar di sana.

“Setakat ini, maklum balas yang kami terima sangat menggalakkan. Kenalan di Indonesia memberitahu dia mahu menempah 500 tiket untuk membawa pekerja, kenalan dan keluarga menonton pementasan ini nanti. Saya tidak sabar melihat reaksi mereka,” ujarnya.

Tampil kelainan

Bercerita lanjut, Siti Rohaya memaklumkan, pementasan di Indonesia juga bakal membawakan kelainan yang tidak pernah dipertontonkan sebelum ini.

“Penceritaannya akan kami kekalkan, cuma kita selitkan elemen budaya tempatan seperti yang kami lakukan ketika pementasan di Singapura.

“Di Indonesia, kami selitkan sedikit budaya masyarakat di sana. Mungkin dalam 10 peratus, namun ia bergantung kepada keperluan,” katanya.

Bercakap tentang pementasan, Siti Rohaya berkata, teater berkenaan akan mengekalkan konsep sama seperti dipertontonkan di Malaysia dan Singapura.

“Pementasan ini menggunakan maskot untuk kelapan-lapan karakter termasuk Upin, Ipin, Jajit, Mei Mei dan ramai lagi.

“Hanya beberapa karakter seperti Spider, Rambo (ayam), katak dan lain-lain akan ditampilkan dalam bentuk kostum. Watak yang betul-betul ditampilkan sebagai manusia hanya Nenek Kebayan.

“Kami akan gunakan suara asal seperti dalam siri animasi Upin dan Ipin. Mereka yang memakai maskot dan kostum itu nanti hanya perlu bermain pergerakan dan bahasa tubuh,” katanya.

Khidmat kru produksi antarabangsa

Kata Siti Rohaya, merealisasikan muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom! memberikan pengalaman baharu dan berbeza sepanjang penglibatannya dalam dunia teater.

“Ini kali pertama saya mengarahkan teater yang melibatkan hampir kesemua watak menggunakan maskot dan kostum. Jadi, saya juga kena tahu tentang kesan khas imej janaan komputer atau CGI.

“Penglibatan saya bermula sebelum penceritaan teater ini diwujudkan. Daripada merangka skrip dan jalan cerita, semua proses itu perlu diterjemahkan dalam bentuk visual.

“Selain itu, saya juga kena teliti dengan jarak antara pelakon ketika beraksi di pentas kerana pementasan ini tidak menggunakan set,” ujarnya.

Katanya lagi, dia cukup berbangga dengan produksi teater itu yang turut melibatkan kepakaran bertaraf antarabangsa.

“Teater ini melibatkan banyak kemahiran teknikal, termasuk audio dan visual. Hampir sebahagian besar pakar yang digunakan adalah dari Singapura dan pernah mengendalikan pementasan bertaraf dunia, termasuk produksi terbitan Disney,” katanya lagi.

Reaksi peminat

Pengarah Urusan, Pengasas dan Penerbit Les’ Copaque Production Sdn. Bhd., Burhanuddin Md. Radzi pula memaklumkan, muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom! amat ditunggu-tunggu peminat di Indonesia.

Justeru, dia yakin teater berkenaan bakal menerima sambutan menggalakkan apabila dipentaskan di negara itu nanti.

“Kami telah mengadakan sidang akhbar di Jakarta, empat hari sebelum pelaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Disebabkan pandemik, perancangan kami untuk mementaskannya di sana terhalang.

“Berdasarkan reaksi dan maklum balas kami terima, saya yakin peminat Indonesia sangat menantikan teater itu.

“Bahkan, sambutan luar biasa di Singapura, baru-baru ini menambah lagi keyakinan untuk membawanya ke Indonesia,” katanya.

Disoal tentang formula kejayaan jenama Upin dan Ipin, Burhanuddin berkata, sokongan peminat yang sebilangan besarnya adalah kanak-kanak menjadi faktor utama karakter animasi tersebut terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

“Bukan sahaja kanak-kanak, orang dewasa juga meminati Upin dan Ipin. Malah, ibu bapa suka membawa anak mereka menonton karakter animasi ini dan sebab itu, ia dapat bertahan lama,” tambahnya.

Kata Burhanuddin, dia bangga kerana Upin dan Ipin bukan sahaja dikenali luar negara, malah berkesan dalam mempromosikan budaya Malaysia kepada orang luar.

“Saya bangga kerana Upin dan Ipin mempromosikan budaya kita di mata dunia. Memang tujuan kami, mengetengahkan budaya dan cara hidup kita kepada orang luar. Kami mahu mereka tahu bagaimana anak-anak kita membesar, menghormati orang tua dan menjaga nilai moral yang tinggi,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×