TANAH MERAH: Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) terpaksa meredah banjir dengan kerusi roda sejauh satu kilometer (km) dalam keadaan hujan lebat selepas rumahnya di Kampung Padang Kijang dekat sini, ditenggelami air.
Mengimbau detik cemas itu, Norazlinda Deraman, 31, berkata, air mula naik di kawasan rumahnya sekitar pukul 4.30 pagi, Ahad lalu.
Menurutnya, susulan itu dia telah menghubungi anggota pasukan keselamatan beberapa kali untuk mendapatkan bantuan, namun mereka menghadapi kesukaran untuk masuk ke kawasan rumahnya.
“Melihat kepada keadaan air semakin yang naik dan hampir mencecah loteng rumah, saya telah mendapatkan bantuan abang untuk datang membantu menyelamat. Alhamdulillah, dengan menggunakan perahu saya bersama anak tunggal Nor Amalina Mohd. Faizal, 9, berjaya dibawa keluar dari rumah.
“Selepas dipindah keluar dengan menggunakan perahu, saya terpaksa ditolak oleh kakak ipar, Alawiah Ramli, 41, dengan menggunakan kerusi roda sejauh 1 km dalam keadaan hujan lebat.
Mujurlah ketika itu, seorang penduduk kampung yang secara kebetulan melalui kawasan tersebut telah membantu dengan menumpang saya dan anak dengan motosikal roda tiga miliknya,” katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pasir, di sini semalam.
Norazlinda memberitahu, perjalannya menaiki motosikal untuk selamat tiba ke PSS mengambil masa selama 20 minit dan banjir kali ini seakan bah kuning kerana air naik dengan begitu cepat sehingga mencecah paras bumbung rumah.
“Ini adalah kali pertama saya berpindah ke PPS kerana sebelum ini air naik tidak terlalu tinggi dan saya masih boleh berada di loteng rumah.
“Malah, saya tidak sempat menyelamatkan barang-barang di dalam rumah kerana air naik dengan begitu cepat,” ujarnya. – UTUSAN










