Lantikan politik boleh jika mampu bekerja

Lantikan politik boleh jika mampu bekerja

MOHD. IZANI MOHD. ZAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu berpegang kepada asas ba­hawa lantikan politik harus berdasarkan kredibiliti, berkebolehan, berkompetensi dan ke­­sesuaian di sesuatu posisi.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, penganalisis politik Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, isu pelantikan ahli politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bukan perkara baharu malah, sudah menjadi kebiasaan dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Menurut beliau, lantikan po­litik dalam GLC biasanya dibuat sebagai penghargaan atau terima kasih kepada orang ‘dalam’ parti namun, isunya timbul apabila jawatan diisi oleh ahli politik yang tidak mempunyai kepakaran bersesuaian atau tiada pengalaman.

“Pelantikan itu tidak akan menjadi satu isu besar sekira­nya ahli politik yang ditawarkan mengisi jawatan dalam GLC mempunyai kepakaran yang bersesuaian namun, terdapat ahli politik yang tidak ada kepakaran atau pengalaman dalam jawatan yang dilantik.

“Ia tidak memberi manfaat dan merugikan agensi terlibat kerana ia sekadar ‘memanaskan kerusi’ sahaja selain tiada penambahbaikan yang dibawa dalam lantikan sekali gus me­rugikan agensi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Semalam, Perdana Menteri memaklumkan lantikan se­mu­la bekas Ahli Parlimen Ma­chang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, sebagai Pengerusi Felcra yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi Jumaat lalu, ditangguhkan.

Anwar dilaporkan berkata, pelantikan semula itu sememangnya sudah dimaklumkan oleh Ahmad Zahid namun, wujud kekeliruan berhubung lantikan ahli politik melibatkan badan berkanun serta GLC.

“Saya tidak pernah menyatakan tidak boleh mana-mana pihak yang terlibat politik itu menjadi pengurusan tetapi, ia mesti terikat dengan syarat-syarat dan mesti ada kelayakan dalam bidang berkenaan,” kata Anwar.

Mengulas lanjut Izani berkata, antara aspek lain yang perlu diambil kira jika lantikan politik diteruskan ialah kebimba­ngan masyarakat yang khuatir sesebuah GLC itu akan dipergunakan sekiranya orang politik di­letakkan dalam pengurusan.

Dalam pada itu, Penganalisis politik, Prof Dr. Azmi Hassan berkata, sekiranya mereka yang tiada kepakaran dan pengalaman dilantik ke dalam badan berkanun atau GLC, ia akan merugikan kerana tidak memberi nilai tambah.

“Jadi, lantikan politik ini perlu berdasarkan kepakaran, kemahiran dan pengalaman dan bukannya sekadar ahli politik dan ingin membalas jasa semata-mata kerana pelantikan berdasarkan parti politik akan menjejaskan integriti.

“Selain itu terdapat risiko wujudnya konflik kepen­tingan apabila calon dilantik berdasarkan parti politik ke­rana mereka dikhuatiri akan mengutamakan program yang mempunyai kepentingan sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×