PETALING JAYA: Kira-kira satu peratus atau 2,000 daripada keseluruhan 200,000 biji telur ayam yang dibawa masuk dari India baru-baru ini, diuji di makmal dan didapati bebas wabak selesema burung.
Sementara baki kira-kira 198,000 biji telur tidak dapat dihantar ke makmal dan sudah masuk ke pasaran tempatan, tanpa jaminan bebas wabak penyakit tersebut.
Utusan Malaysia difahamkan, berdasarkan maklumat daripada beberapa pemain industri telur tempatan yang terlibat dalam eksport produk itu, kerajaan menghadapi beberapa kekangan untuk menguji kesemua telur import itu.
“Saya difahamkan kerajaan mendapati, setakat Jumaat lepas, semua 2,000 biji sampel telur import itu negatif wabak selesema burung,” katanya.
Namun terdapat kebimbangan pihak industri kerana 198,000 biji telur import tidak dapat diuji bagi menjamin ia bebas wabak berbahaya itu.
Justeru, kata sumber, hal ini mendedahkan pengguna kepada risiko jika ada antara telur-telur itu berpenyakit.
“Memang saya difahamkan kerajaan tak boleh buat sampling terhadap semua 200,000 biji telur, sebab untuk uji kaji makmal, telur-telur kena dipecahkan. Jadi, tak akan kerajaan mahu pecahkan kesemua 200,000 biji.
“Ia tidak sama seperti ujian ke atas haiwan hidup.
“Untuk ujian haiwan, sampel darah yang diambil tanpa perlu membunuhnya. Tapi dalam kes ujian makmal terhadap telur, ia perlu dipecahkan,” katanya.
WABAK
Sejak 16 Februari tahun ini, India melaporkan penularan wabak virus selesema burung H5N1 yang di ladang penyelidikan ayam di timur laut negeri Bihar.
Reuters yang memetik Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) berkata, virus itu setakat ini telah membunuh 787 daripada 3,859 ayam di ladang di Patna, mengakibatkan semua ternakan itu dimusnahkan.
Kemudian pada 14 Disember, agensi berita Xinhua melalui wartawannya yang berpangkalan di New Delhi melaporkan, pihak berkuasa Kerala mula memusnahkan unggas di negeri itu berikutan wabak selesema burung.
Pemusnahan unggas tersebut dilakukan di daerah Kottayam, kira-kira 147 kilometer ke utara Thiruvananthapuram, ibu kota Kerala.
Menurut pegawai, 8,000 unggas dimusnahkan di kawasan Arpookkara dan Thalayazham di daerah itu.
Virus selesema burung H5N1 yang sangat patogenik disahkan merebak di dua kawasan itu, selepas ujian yang dijalankan di Institut Penyakit Haiwan Keselamatan Tinggi Negara di Bhopal mengesahkan kehadiran virus itu dalam sampel yang dihantar dari daerah tersebut.
Jumaat lalu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memberi kebenaran sementara kemasukan telur ayam dari sumber luar dan kebenaran itu akan dikaji semula apabila bekalan telur dalam negara kembali stabil.
Utusan Malaysia telah menghubungi National Institute of High Security Animal Diseases of India (NIHSAD) yang berpangkalan di Anand Nagar, Bhopal untuk mendapatkan penjelasan berhubung kes selesema burung di negara itu serta prosedur eksport telur ayam ke luar negara, dan masih menunggu maklum balas pihak mereka.- UTUSAN











