TRAGEDI tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Genting Highlands cukup memberi kesan kepada seluruh rakyat. Sehingga hari ini, rakyat berkabung tanpa mengira perbezaan agama, kaum mahupun ideologi politik mengharapkan keajaiban agar semua mangsa kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm (FOF), awal pagi 16 Disember lalu dapat ditemui.
Walaupun kita bukan sebahagian ahli keluarga mangsa, namun tragedi ini memberi kesan sangat mendalam lebih-lebih lagi seorang kanak-kanak berusia setahun menjadi mangsa korban selain pasukan penyelamat menemukan mayat seorang ibu dan anak berpelukan di bawah runtuhan tanah.
Lebih menyayat hati apabila percutian yang sepatutnya meninggalkan kenangan indah bertukar dengan suara tangisan dan kesedihan disebabkan tindakan sesetengah pihak yang boleh disifatkan mementingkan diri sendiri apabila sewenang-wenangnya membuka operasi tapak perkhemahan tanpa kebenaran dan lesen.
Bagaimana syarikat yang hanya diberikan lesen pembangunan kebun organik boleh membuka tiga tapak perkhemahan lesen sejak 2020? Adakah sikap tamak pengusaha, kelemahan pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Pejabat Daerah dan Tanah perlu dipersalahkan?
Aktivis alam sekitar, Meor Razak Meor Abdul Rahman ketika dihubungi Utusan Malaysia menegaskan, kealpaan dan kelemahan penguat kuasa memantau pengendali atau aktiviti pemilik tanah sangat lemah dan perlu ditambah baik.
Katanya, kerajaan perlu memastikan tiada kompromi apabila melibatkan penguatkuasaan. Mereka perlu mengambil tindakan tegas kepada pengusaha yang tidak dapat kelulusan daripada pihak berwajib.
Umum mengetahui, kawasan tragedi runtuhan cerun yang meranapkan tiga tapak perkhemahan FOF disifatkan sebagai kawasan sensitif tahap satu dan dua kepada pembangunan tanah.
Malah jika dilihat, pengendali gagal mematuhi syarat kelulusan PBT yang mewartakan tanah tersebut hanya untuk pertanian organik.
“Ia bukan perkara baharu, malah banyak sahaja berlaku (pelanggaran syarat) di Perak, Selangor dan beberapa negeri lain. Kawasan percutian seperti tapak perkhemahan, resort dan sebagainya banyak dibina di tepi sungai yang berisiko terkena kepala air, bukan hanya tanah runtuh.
“Mereka ini kebanyakannya tidak mempunyai kelulusan PBT. Jadi, saya melihat keperluan pihak penguat kuasa untuk sentiasa memantau agar tuan tanah mematuhi syarat nyata kegunaan tanah.
“Contohnya, jika kawasan itu hanya mendapat kelulusan untuk pertanian organik, maka tidak boleh lakukan aktiviti lain. Nak tanam pun bukan suka-suka, ia perlu berdasarkan jenis yang dinyatakan dalam geran. Jika berdegil, maka pejabat tanah boleh mengambil tindakan berdasarkan Kanun Tanah Negara,” katanya.
Malah, jelasnya, ada yang berani melanggar rizab sungai sedangkan ia diwartakan sebagai milik kerajaan. Mereka tidak boleh membina apa-apa bangunan atau mengubah struktur sehingga tebing sungai kerana sebarang gangguan terhadap rizab sungai yang dianggap sebagai zon penimbal boleh menyebabkan bencana.
Bencana tanah runtuh atau kepala air mungkin tidak berlaku jika semua pihak memainkan peranan masing-masing. Jika isu-isu yang jelas salah dan pemantauan dilakukan dengan ketat, mungkin kita dapat mengelak kehilangan nyawa. Bukankah ada istilah mencegah lebih baik daripada merawat?
KAWASAN PERLINDUNGAN
Kejadian ini wajar dijadikan pengajaran tidak kira di pihak kerajaan Pusat, kerajaan negeri, pihak penguatkuasaan, pemilik tanah ataupun masyarakat.
Kerajaan negeri perlu memastikan sesuatu kawasan itu selamat sebelum ‘melepaskan tanah’ kepada pembeli baharu atau pembangunan oleh pemilik tanah sama ada individu mahupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Ini bermakna kerajaan negeri perlu merujuk perancang bandar dan saya sarankan pada masa akan datang, tidak memberi milik pada tanah sensitif tahap satu. Sebaliknya wartakan sebagai kawasan perlindungan.
“Ini kerana jika diberi (tanah), mereka akan memaksimumkan penggunaan tanah tanpa mengambil kira kerosakan ekosistem yang dilakukan,” jelas Meor Razak.
Tambah beliau, ada yang diwartakan sebagai kawasan perlindungan tetapi ditengah-tengahnya merupakan tanah pemilik. Ia sepatutnya tidak boleh diberi milik kerana pemilik akan melakukan penerokaan tanah secara suka hati sedangkan sudah jelas syarat nyata kegunaan tanah.
BUKA MATA
Beliau juga percaya pemilik tanah pastinya mengetahui tentang syarat dan sempadan seperti yang termaktub dalam geran, namun sikap tamak dan rakus menyebabkan mereka hilang pertimbangan diri untuk menjaga kebajikan dan keselamatan pengunjung.
“Ada pula dalam kalangan pemilik tanah atau pengusaha resort dan tapak perkhemahan membina jambatan gantung sebagai tarikan tanpa mengikut spesifikasi dan kebenaran pihak berkuasa. Ini semua mengundang bahaya kepada pengunjung,” ujarnya.
Arahan menutup semua operasi tapak perkhemahan walaupun tidak bersifat populis, namun amat penting untuk mengelak kejadian kehilangan nyawa.
Walaupun ada yang mempertikaikan tindakan itu, namun langkah ini bukan sahaja penting bagi membolehkan proses ‘pembersihan’ perniagaan yang dijalankan tetapi mengambil kira bom jangka musim tengkujuh ketika ini.
Tidak dinafikan ramai ibu bapa memilih untuk membawa keluarga beriadah pada musim cuti sekolah, namun jangan sesekali abaikan perubahan cuaca. Ketika ini, sangat tidak sesuai membuat aktiviti di tanah tinggi berdekatan lereng bukit, sungai, pantai atau laut. Elakkan juga ke kawasan berisiko banjir selain sentiasa dapatkan maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Jelas, tahap kesedaran masyarakat masih lagi kurang sedangkan MetMalaysia mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia akan mengalami Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh lebih awal dari dijangka bermula 7 November lalu, susulan peralihan Monsun Timur Laut sehingga Mac tahun depan.
Oleh itu, janganlah berdegil dan berkeras tetap mahu bercuti dan menyalahkan kerajaan yang mengarahkan penutupan sementara tapak perkhemahan dan aktiviti di kawasan berisiko. Keselamatan ahli keluarga perlu diutamakan dengan mengelak lokasi terdedah bahaya.-UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.











