WASHINGTON: Ketua Pegawai Eksekutif Twitter, Elon Musk melancarkan tinjauan pendapat di platform media sosial berkenaan pada Ahad, bertanyakan sama ada beliau perlu meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu, sambil menambah akan mematuhi keputusan tinjauan tersebut.
Selepas tiga jam tinjauan itu dilancarkan, sebanyak 56 peratus daripada lebih 9 juta pengguna memilih supaya beliau berbuat demikian.
Menurut laporan Reuters, tinjauan tersebut dijadual ditutup kira-kira 11.20 hari Isnin, walaupun bilionair itu tidak memberikan butiran mengenai bila beliau akan berundur jika keputusan tinjauan pendapat mahu beliau meletak jawatan.
Menjawab komen seorang pengguna Twitter mengenai kemungkinan perubahan dalam CEO, Musk berkata: “Tiada pengganti”.
Bulan lalu, Musk memberitahu sebuah mahkamah di Delaware bahawa, beliau ingin mengurangkan masa untuk Twitter dan mahu mencari seorang pemimpin mengendalikan syarikat itu.
Tinjauan pendapat itu dibuat selepas kemas kini dasar Twitter pada Ahad, yang melarang pengguna mempromosikan firma media sosial lain dan kandungan yang mengandungi pautan atau nama pengguna untuk platform saingan.
Beberapa minit sebelum melancarkan tinjauan pendapat itu, Musk memohon maaf dan membuat ciapan: “Melangkah ke hadapan, akan ada undian untuk perubahan dasar utama.”
Beberapa jam kemudian, Twitter memulakan tinjauan pendapat yang bertanya kepada pengguna sama ada platform itu harus mempunyai dasar menghalang akaun yang mengiklankan platform media sosial lain di Twitter.
Langkah itu dilihat akan memberi kesan kepada kandungan daripada platform media sosial seperti Facebook dan Instagram selain Mastodon, Truth Social, Tribel, Nostr dan Post sambil membenarkan penyiaran merentas kandungan,” kata penyokong Twitter melalui satu ciapan.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Twitter Jack Dorsey, yang baru-baru ini melabur dalam platform media sosial Nostr, membalas ciapan itu dengan berkata: “Kenapa?”
Dalam reaksi beliau kepada ciapan pengguna lain tentang larangan promosi Nostr, Dorsey berkata, “(Ia) tidak masuk akal”.
TikTok, platform video pendek yang dimiliki oleh ByteDance Ltd China, tidak termasuk dalam senarai berkenaan.
Minggu lalu, Twitter membubarkan Majlis Amanah dan Keselamatannya, sebuah kumpulan sukarelawan yang ditubuhkan pada 2016 untuk menasihati platform media sosial itu mengenai keputusan tapak.
Perubahan dasar itu berikutan tindakan huru-hara lain di Twitter sejak Elon Musk, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, membeli rangkaian sosial itu.
Beliau bertindak memecat pengurusan tertinggi dan memberhentikan kira-kira separuh daripada tenaga kerja platform sosial itunya, sambil melihat caj yang perlu dikenakan untuk perkhidmatan langganan Twitter Blue. – AGENSI










