PETALING JAYA: Jumlah dagangan Malaysia berkembang 15.6 peratus kepada RM238.2 bilion pada November lalu, daripada RM206.1 bilion tempoh sama tahun sebelumnya.
Jumlah dagangan mencatatkan pertumbuhan positif untuk bulan ke-24 berturut-turut sejak Disember 2020, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, eksport Malaysia mengekalkan pertumbuhan pada November 2022, disokong oleh peningkatan eksport domestik dan eksport semula.
Kata beliau, eksport domestik bernilai RM104.1 bilion menyumbang 79.9 peratus kepada jumlah eksport, meningkat 10.5 peratus tahun ke tahun.
“Selari dengan itu, eksport semula berjumlah RM26.2 bilion (20.1% daripada jumlah eksport), meningkat 41.8 peratus. Seiring dengan prestasi eksport, import pada November 2022 juga mencatatkan pertumbuhan dua angka 15.6 peratus daripada RM93.4 bilion pada November 2021 kepada RM107.9 bilion.
“Lebihan dagangan kembali mencatatkan peningkatan 15.6 peratus kepada RM22.3 bilion berbanding November 2021. Walau bagaimanapun, berbanding Oktober 2022, prestasi jumlah dagangan, eksport dan import menunjukkan penurunan, manakala lebihan dagangan meningkat.
“Jumlah dagangan menyusut 2.8 peratus, didorong penurunan eksport (-1.0%) serta import (-4.9%). Lebihan dagangan mencatatkan peningkatan 23.5 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Uzir berkata, selaras dengan pertumbuhan tahunan, 145 daripada 256 kumpulan barangan untuk eksport menunjukkan peningkatan berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya, dipacu oleh barangan elektrik & elektronik. Bagi import, 167 daripada 257 kumpulan barangan mencatatkan pertumbuhan positif.
Beliau berkata, peningkatan eksport disumbangkan terutamanya oleh eksport yang lebih tinggi ke Singapura (+RM5.9 bilion), Jepun (+RM2.1 bilion), Hong Kong (+RM1.8 bilion), China (+RM1.6 bilion), Australia (+RM1.6 bilion), Amerika Syarikat (+RM1.5 bilion), Kesatuan Eropah (+RM1.5 bilion) dan Thailand (+RM1.1 bilion).
Sementara itu, import dipacu oleh peningkatan import dari China (+RM3.6 bilion), Australia (+RM2.4 bilion), Taiwan (+RM2.1 bilion), Amerika Syarikat (+RM1.5 bilion), Singapura (+RM1.5 bilion) dan Arab Saudi (+RM1.5 bilion).
“Peningkatan eksport mengikut produk didorong oleh barangan elektrik & elektronik (+RM12.9 bilion); gas asli cecair (+RM2.7 bilion); keluaran petroleum (+RM2.6 bilion) dan petroleum mentah (+RM1.3 bilion). Sementara itu, peningkatan dalam import dicatatkan bagi barangan elektrik & elektronik (+RM5.3 bilion); petroleum mentah (+RM3.0 bilion); jentera, kelengkapan & peralatan (+RM1.5 bilion); kelengkapan pengangkutan (+RM1.1 bilion) dan gas asli cecair (+RM1.0 billion),” jelasnya. – UTUSAN










